My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 18 July 2016

    10 Selebriti 'Gelandangan'


    Selebriti Hollywood sentiasa dilihat sebagai golongan kaya, dikenali dan dikagumi. Setiap perkara yang dilakukan mereka tentunya mencuri tumpuan masyarakat. Namun begitu, mungkin sebilangan besar yang tidak tahu ramai selebriti dalam senarai A-List di Hollywood pernah mengalami zaman kejatuhan sehingga ada yang bergelar gelandangan. 

    Berikut 10 selebriti Hollywood yang pernah bergelar gelandangan:

    Hillary Swank

    Kedua-dua ibu bapa Hillary Swank bercerai ketika dia berusia 13 tahun dan Hillary kemudian berpindah bersama ibunya ke Los Angeles. Di sana, mereka terpaksa tinggal di dalam kereta dan ibunya berusaha mendapatkan peluang untuk Hillary menyertai uji bakat lakonan. Perlahan-lahan, kedua-dua mereka mula menerima pendapatan dan mampu menyewa pangsapuri.

    Shania Twain

    Siapa sangka, penyanyi yang popular dengan lagu Ka-Ching, Shania Twain juga pernah bergelar gelandangan. Demi membantu keluarganya, Shania sudah mula menyanyi di bar dan mencari rezeki sebagai penyanyi pada usia lapan tahun.

    Jennifer Lopez

    Jennifer Lopez berpindah keluar dari rumah ibu bapanya ketika berusia 18 tahun. Puncanya adalah kerana dia ingin meneruskan minatnya sebagai penari namun ditentang ibunya yang mahukannya melanjutkan pelajaran.

    Disebabkan itu, penyanyi itu terpaksa menumpang di sebuah studio tarian dan hanya tidur di sofa. Rezeki berpihak kepadanya apabila dia menerima tawaran untuk menari di Eropah.

    Kelly Clarkson

    Menurut laporan media antarabangsa, sebelum bergelar selebriti, Kelly Clarkson pernah mencuba nasib menjadi penyanyi di Los Angeles. Namun, satu insiden berlaku dan menyebabkan pangsapuri tempat dia menginap terbakar teruk sekali gus memaksanya menjadi gelandangan. Dia kemudian kembali ke kampung halamannya di Texas dan menyertai uji bakat program realiti American Idol dan menjadi juara pertama program itu.

    Sylvester Stallone

    Selepas dihalau keluar dari pangsapurinya, Sylvester Stallone menjadi gelandangan dan terpaksa tidur di stesen bas. Dia kemudian mencuba nasib menjadi pelakon filem lucah sekitar tahun 1970 dan filem pertama lakonannya adalah The Party At Kitty and Stud’s. Dengan bayaran sekitar RM787 pada waktu itu membantunya untuk mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa.

    Steve Harvey

    Siapa sangka, kehidupan pelawak seperti Steve Harvey tidaklah semanis yang disangka. Sebelum kerjayanya sebagai pelawak bermula pada 1980-an, dia juga pernah bergelar gelandangan. Selama tiga tahun, Steve tinggal di dalam kereta Ford Tempo miliknya. Steve hanya singgah untuk mandi dan membersihkan diri di stesen minyak, hotel dan kolam renang awam.

    Halle Berry

    Ketika berhijrah ke Chicago untuk mencuba nasib sebagai pelakon, Halle kehabisan wang dan ibunya juga tidak mahu menghantar wang kepadanya. Dalam tempoh bertarung dengan kehidupannya ketika itu, Halle terpaksa menetap di pusat perlindungan gelandangan. Menurut Halle dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, apa yang berlaku kepadanya suatu ketika dahulu mengajarnya untuk lebih memahami kehidupan.

    Drew Carey

    Drew membesar di Cleveland, Ohio dan ketika berusia lapan tahun, bapanya meninggal dunia. Selepas itu, dia meneruskan kehidupannya tanpa rumah. Di saat terdesak, Drew pernah menjual plasma darahnya dengan harga RM158. Dia juga turut menukar barangnya yang boleh dijual untuk membeli burger.

    William Shatner

    William yang pernah melakonkan watak Kapten James Tiberius Kirk dalam siri Star Trek juga pernah bergelar gelandangan. Ketika siri itu ditamatkan pada 1969, hidup William menjadi tunggang- langgang. Dia turut bercerai dengan isterinya dan benar-benar hidup miskin sehingga memaksanya tinggal di dalam trak kerana tidak mampu menyewa bilik dan rumah.

    Jewel

    Jewel dibuang kerja selepas menolak permintaan bosnya untuk tidur bersama. Disebabkan itu juga, gajinya disekat dan pada masa sama dihalau keluar dari tempat tinggalnya. Pada awalnya, tidak menjadi masalah buatnya kerana masih mampu tinggal di dalam kereta, namun apabila kerap sakit dan mengalami masalah buah pinggang, kehidupannya semakin menjadi terdesak.

    Selama tempoh sebulan itu, Jewel juga hampir mati di kawasan letak kereta yang menjadi tempat tinggal sementaranya sebelum kembali menyanyi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 10 Selebriti 'Gelandangan' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top