My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 22 July 2016

    FAM Tak Perlu Buang Masa Layan Tuduhan Yang Tidak Berasas



    KECOH seketika baru-baru ini apabila empat pemain utama pasukan bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal mengumumkan persaraan daripada skuad negara. Persaraan itu sebenarnya perkara biasa yang tidak harus diperdebatkan dengan panjang lebar. 

    Biarkan mereka bersara ke­rana itu hak pemain terbabit walaupun pelbagai tuduhan yang mengatakan tindakan keempat-empat pemain tersebut dipe­ngaruhi oleh pihak ketiga. Sama ada keputusan mereka itu dipengaruhi atau sebalik­nya, itu hak mereka dan FAM tidak perlu bimbang kerana yang hilang pasti akan berganti.

    Kalau bukan sekarang, suatu masa nanti, mereka akan tetap bersara kerana itu adalah ‘asam garam’ dalam sukan. Lagipun, persaraan mereka sebenarnya tidak membawa apa-apa impak kepada skuad bola sepak negara.

    Tanpa kehadiran mereka pun, skuad bola sepak kita akan tetap mengalami nasib yang sama dan dengan kehadiran mereka sekali pun, prestasi buruk tetap akan dialami oleh Harimau Malaysia. Jadi, apa yang nak dibimbangkan sangat dengan keputusan mereka untuk bersara? Biarkan mereka pergi dengan keputusan yang telah mereka buat asalkan ia tidak mengganggu perancangan pembangunan atau pembentukan semula skuad kebangsaan.

    Kita harus mengambil iktibar daripada kejayaan Portugal yang muncul juara Euro 2016 baru-baru ini. Tanpa kehadiran pemain berpengaruh, Cristiano Ronaldo (yang hanya beraksi selama 18 minit) pun, mereka (Portugal) mampu menewaskan Perancis yang dibarisi ramai pemain bertaraf dunia pada perlawanan akhir.

    Ramai yang berpendapat, ramai lagi pemain di luar sana yang berkebolehan, cuma kita tidak mempergunakan sepenuhnya bakat mereka untuk menyumbang sesuatu dengan skuad kebangsaan. Apa yang lebih penting sekarang adalah FAM tidak perlu terpengaruh dengan desakan pihak yang tiada kaitan dengan mereka, sebaliknya terus ber­usaha ke arah membangunkan bola sepak negara. 

    Individu-individu dalam FAM perlu tegas dengan pendirian mereka tanpa mudah ‘digoyangkan’ dengan serangan-serangan yang entah bila akan berakhir. Pemerhati memang ramai dan kalau dilayan setiap kritikan, bola sepak kita akan tetap tidak ke mana. Mana tidaknya, kerja-kerja hakiki diabaikan kerana asyik melayan benda-benda remeh yang boleh membawa kepada keruntuhan bola sepak negara.

    Mereka yang berada di luar FAM hanya gemar melenting menyalahkan FAM, tetapi enggan duduk dalam jawatankuasa badan induk bola sepak negara itu untuk sama-sama membantu membangunkan bola sepak negara.

    Orang yang mempunyai ba­nyak idea untuk membantu membangunkan bola sepak negara seharusnya tampil dan duduk dalam jawatankuasa eksekutif FAM, dan bukannya melenting dari luar yang hanya akan membawa keburukan. Mengkritik tidak salah, tetapi biarlah kritikan itu membawa kebaikan terhadap bola sepak negara.

    Sebenarnya kita tidak perlu mengutuk atau menghentam bola sepak negara kerana ramai yang tahu setakat mana kualiti yang kita ada. Kita hentam sampai ke lubang cacing sekali pun, prestasi bola sepak kita tetap menghampakan dan situasi ini satu Malaysia sudah mengetahuinya. Perkara utama sekarang adalah untuk sama-sama berganding bahu bagi mengubah senario ketika ini agar hasilnya dapat dinikmati suatu hari nanti.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: FAM Tak Perlu Buang Masa Layan Tuduhan Yang Tidak Berasas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top