My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 28 July 2016

    Pemilihan Rakan Strategik



    Syarikat automotif terkemuka dari Eropah, China dan Jepun menunjukkan minat bagi menjalin kerjasama sebagai rakan strategik dengan Proton Holdings Berhad (PROTON) bagi membantu syarikat automotif negara itu lebih berdaya maju. 

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menyerahkan kepada pengeluar kereta nasional itu untuk membuat keputusan, namun meletakkan beberapa kriteria penting bagi pemilihan berkenaan.

    Beliau berkata, bagi pihak kerajaan, PROTON perlu memastikan rakan strategik itu mampu untuk melonjakkan kembali PROTON dan menjadi lebih baik berbanding ketika ini.

    “Rakan strategik itu perlu ada teknologi, modal dan jaringan eksport supaya usaha sama yang terjalin akan memberikan impak serta manfaat terbaik kepada PROTON,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Hari Raya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi bersama sektor swasta di sini, semalam.

    Pada April lalu, kerajaan bersetuju meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion bagi memastikan PROTON kekal berdaya tahan sebagai pembuat kereta nasional yang memberikan pekerjaan kepada 12,000 warga PROTON dan 50,000 lagi dalam rantaian bekalan automotif tempatan.

    Melalui pinjaman mudah berkenaan, peranan kerajaan bukan untuk memulihkan PROTON atau mengambil alih pengurusannya, tetapi membantunya dengan memastikan syarat dikenakan untuk bantuan kewangan dipatuhi sepenuhnya. PROTON diberikan tempoh setahun oleh kerajaan untuk mencari rakan strategik sebagai sebahagian syarat pinjaman mudah.

    Mustapa berkata, hubungan strategik PROTON dengan syarikat luar penting untuk dilaksanakan kerana sebagai pemain industri yang kecil di peringkat antarabangsa, rakan strategik mampu membantu pengeluar kereta nasional itu mengembangkan perniagaannya.


    Sementara itu, kerajaan akan terus merancakkan langkah berkesan dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia, sekali gus menjadikan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    Beliau berkata, kebanyakan projek yang dilaksanakan adalah dalam segmen elektrikal dan elektronik, peralatan dan mesin, produk reka bentuk logam dan produk petroleum termasuk peralatan pengangkutan dan petrokimia.

    Menurutnya, dalam suku pertama tahun ini, kerajaan juga meluluskan 170 projek dalam sektor pembuatan dengan pelaburan RM8.9 bilion di mana projek itu dijangka menjana 19,650 peluang pekerjaan tambahan.

    Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri (Perdagangan) Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri (Industri) Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk J Jayasiri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pemilihan Rakan Strategik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top