Bayangkan anda diberikan masa 12 jam untuk melakukan apa sahaja jenayah tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Itulah yang cuba dipaparkan dalam filem The Purge: Election Year arahan pengarah James DeMonaco.

Lebih parah lagi, sepanjang tempoh The Purge berlangsung, polis tidak akan mengambil sebarang tindakan dan hospital juga akan menghentikan operasi. Menerusi filem ketiga ini, ia mengisahkan Senator Charlene Roan lakonan Elizabeth Mitchell yang sebelum ini terselamat daripada jenayah 12 jam itu, 18 tahun lalu.

Tidak bersendirian, Charlene turut dibantu pegawai keselamatannya, Leo Barnes (Frank Grillo). Usaha mereka turut disokong pemilik kedai, Joe (Mykelti Williamson), pembantunya Marcos (Joseph Julian Soria) dan paramedik Laney (Betty Garbriel).
Sutradara James DeMonaco berkata kepada media antarabangsa, filem ketiga ini sarat dengan adegan aksi dan lebih ganas berbanding dua karya terdahulu. “Walaupun ada yang mengatakan filem ini seperti sebuah dokumentari selepas menonton trailer, apa yang pasti The Purge: Election Year lebih ‘gila’,” katanya.

“Saya menulis karya ini pada 2014. Saya cuma hasilkan apa yang terlintas di fikiran saya pada ketika itu. Tak sangka pula apabila ditayangkan ia dikaitkan dengan pilihan raya,” katanya. Di Malaysia, The Purge akan mula menemui penonton hari ini dan menjadi antara filem yang dinanti ramai pencinta filem.
0 comments:
Post a Comment