My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 18 July 2016

    Hafizh Konsisten, Khairul Idham Cemerlang


    Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) kekal konsisten dalam saingan Moto2 apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Jerman di kedudukan ketujuh semalam. Pada perlumbaan di Litar Sachsenring, pelumba berusia 22 tahun itu bermula di petak ke-11 dengan harapan besar untuk dia mencabar kedudukan podium apabila saingan berlangsung dalam litar basah. 

    Dia turut terkenal dengan kepakarannya apabila beraksi dalam litar basah namun nasib tidak menyebelahinya apabila terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh. Hafizh mencatat 48 minit 00.588 saat dengan juara menjadi milik Johann Zarco dari Ajo Motorsport yang mencatatkan 47 minit 18.646 saat selepas 29 pusingan perlumbaan.

    Hanya 15 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan dalam saingan litar yang mencabar itu dengan 12 lagi pelumba gagal mengawal jentera masing-masing dan tersingkir awal. Hafizh menokok sembilan mata untuk berada pada kedudukan ketujuh dalam kategori pelumba mengumpul 69 mata selepas mengharungi sembilan siri saingan Moto2 musim ini.

    Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi terus mengharumkan nama Malaysia pada kejuaraan motosikal dunia. Semalam, pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu tampil gagah apabila muncul juara kategori Moto3 pada Grand Prix (GP) Jerman yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

    Walaupun berdepan cabaran yang cukup getir sepanjang perlumbaan tersebut namun, pelumba yang dilahirkan daripada kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM serta Asian Dream Cup itu tabah mengharunginya dan hasilnya, dia berjaya bergelar juara. Ia merupakan kemenangan kedua buat Khairul musim ini selepas menjuarai GP Argentina pada April lalu.

    Menurut pelumba yang mewakili pasukan Honda Team Asia itu, semasa dalam perlumbaan dia terpaksa berhempas pula sebelum mengambil pendekatan untuk bertenang sehingga tamat perlumbaan.

    “Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada kru pasukan saya yang sentiasa berusaha keras untuk memastikan jentera saya berada dalam keadaan stabil. Ia merupakan perlumbaan yang sangat sukar, malah banyak ‘drama’ berlaku sewaktu perlumbaan berlangsung.

    “Pada mulanya saya terlalu mengikut perasaan untuk mendesak jentera saya tampil lebih pantas, tetapi selepas hampir tergelincir, saya mula mengawal keadaan dan ia berhasil. Dengan kemenangan ini saya harap semua ahli keluarga saya, rakan dan semua peminat di Malaysia akan bergembira menikmatinya,” kata Khairul semalam.

    Pada perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan hujan itu, Khairul yang memulakan perlumbaan di petak ke-20 berjaya melakukan pecutan awal untuk menempatkan diri pada kedudukan ketujuh sebaik perlumbaan bermula.

    Dia terus menunjukkan penguasaan selepas berada pada kedudukan hadapan pada pusingan kelima dan berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 47:07.763 saat (s), meninggalkan pencabarnya dengan kelebihan 11.131s di belakang.

    Khairul hampir-hampir mengalami kemalangan pada pusingan 14 dan 19 namun dengan kemahiran yang ada padanya, dia mampu mengawal keadaan. Rakan senegara dari pasukan Drive M7 SIC Racing, Adam Norrodin gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami kemalangan pada pusingan ke-15.

    Selepas mengharungi sembilan perlumbaan setakat ini, pelumba berusia 17 tahun itu menduduki kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan bagi kelas Moto3 dengan mengumpul 54 mata.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hafizh Konsisten, Khairul Idham Cemerlang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top