Petang semalam, negara dikejutkan lagi dengan kejadian tembakan yang membunuh seorang ahli perniagaan, di Setapak. Pembunuhan ini meneruskan rentetan beberapa pembunuhan dengan menggunakan senjata api yang direkodkan didalam negara sepanjang tahun ini.
Dikalangan penyokong pembangkang, mereka pasti akan mempergunakan alasan seumpama ini untuk mempertikaikan keberkesanan pihak berkuasa dalam menangani insiden ini dari terus berlarutan. Malah, sudah ada yang berani mempersoalkan, masih selamatkah untuk mendiami Malaysia hari ini?
Sebenarnya, menurut pengiraan rambang, sebanyak 15 kes kejadian tembakan telah berlaku sepanjang tahun ini. Antara yang terburuk dicatatkan pada bulan ini dimana 7 kejadian tembakan direkod dan disiarkan di kebanyakan akhbar di negara ini. Ini termasuklah cubaan merompak dan kes pembunuh upahan yang telah disiarkan.
Jika dilihat daripada senarai mangsa tembakan ini, kes pertikaian dan persaingan mengenai perniagaan merupakan penyebab utama kejadian seumpama ini berlaku. Ini diikuti dengan kes melibatkan perebutan kawasan melibatkan kumpulan kongsi gelap selain daripada rompakan.
Agak menyedihkan apabila ada sesetengah pihak menjadikan kejadian-kejadian ini sebagai salah satu hujah politik. Apa yang difahami oleh puak-puak ini, mereka mengandaikan, keselamatan rakyat dinegara ini terancam akibat kejadian tembak menembak yang kini bukan lagi dilakukan di tempat tertutup. Malah kini, mereka semakin berani melakukan ditempat yang terbuka.
Sebenarnya, jika dilihat kepada senarai kejadian yang berlaku sejak awal tahun ini, kebanyakan kes tembakan telah berjaya diselesaikan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia. Bagi PDRM, kejadian seumpama ini sentiasa dipandang serius dan sekaligus menyaksikan pihak PDRM sentiasa mempertingkatkan usaha dalam mengawal keselamatan rakyat Malaysia.
Bukan memperkecilkan kejadian tembak menembak seperti ini, namun hakikatnya, kes seumpama ini masih belum mencapai tahap membimbangkan. Namun, PDRM sentiasa memantau dan mengambil tindakan yang perlu untuk mencegah dan membasmi sebarang aktiviti penyeludupan dan kongsi gelap di negara ini.
Justeru, untuk mengatakan negara ini tidak selamat untuk diduduki, ia merupak satu dakwaan yang cukup bodoh. Lihat sahaja tragedi tembakan rambang yang berlaku di Selatan Thailand dan kebanyakan negara luar yang lain. Jumlahnya jauh lebih banyak daripada apa yang dicatatkan oleh negara sepanjang tahun ini.
Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Jika kita tidak terlibat dalam sebarang pertikaian mahupun kongsi-kongsi gelap, keselamatan kita masih terjamin dan yakinlah, pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah termasuk insiden tembak menembak yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
0 comments:
Post a Comment