Sebuah syarikat penerbangan Suasa Airlines Sdn. Bhd. (Suasa Airlines) didapati menyalahi undang-undang penerbangan selepas menerbangkan pesawat mereka ke Langkawi pada Ahad lalu tanpa kebenaran.
Syarikat tersebut yang didaftarkan sebagai penerbangan percubaan, namun telah digunakan untuk penerbangan komersial dengan membawa sekumpulan penumpang termasuk artis ke pulau pelancongan itu.
Mengulas tentang hal ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya mendapati syarikat itu menggunakan nama Monspace Sky Airlines tetapi permohonan untuk melakukan penerbangan percubaan dan teknikal dibuat atas nama Suasa Airlines.
Sehubungan itu ujar beliau, syarikat terbabit beroperasi secara komersial tanpa Sijil Perkhidmatan Udara (ASP) dan Sijil Operator Udara (AOC).
Beliau berkata, Suasa Airlines telah memohon untuk melakukan penerbangan teknikal dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAS), Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta penerbangan percubaan tanpa membawa penumpang seperti yang telah diluluskan oleh DCA. Bagaimanapun, Suasa Airlines didapati telah membawa penumpang ke Langkawi dan ia menjadi satu kesalahan.
Oleh itu, tegas beliau, pihak kementerian akan memanggil pihak pengurusan Suasa Airlines Sdn Bhd bagi memberikan keterangan berhubung tindakan mereka yang menerbangkan pesawat milik mereka ke Langkawi tanpa kebenaran dari pihak DCA.
0 comments:
Post a Comment