Ketika hiruk pikuk dari Pulau Pinang yang mendakwa DAP tetap akan mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam masa terdekat, pembangkang di negeri tersebut sudah boleh membuat perkiraan berhubung peluang BN untuk merampas semula Pulau Pinang dari tangan DAP.
Walaupun sehingga kini masih belum ada kata pemutus samada berlaku ataupun tidak Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, namun jika dilihat dari segi komitmen dan kemahuan kuat DAP, kemungkinan itu tetap ada. Lim Guan Eng dilihat benar-benar serius memujuk PKR untuk bersetuju dengan mereka bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri dan UMNO serta BN harus boleh bersedia sekarang.
Jika dilihat daripada keadaan semasa yang berlaku di Pulau Pinang, kepimpinan DAP dilaporkan sudah mula ditolak oleh rakyat Pulau Pinang. Ini kerana, sepanjang 8 tahun mereka berkuasa, terlalu banyak isu yang mereka gagal tangani termasuk kos sara hidup yang cukup tinggi di bahagian pulau di negeri ini.
Tambahan pula, sentimen kemarahan rakyat Pulau Pinang terutamanya kaum Melayu di sini yang berang dengan cara Guan Eng menguruskan negeri terutamanya kegagalannya membina walau sebuahpun rumah mampu milik, jelas memainkan peranan disini.
Namun begitu, usah dilupa kepada sentimen pengundi kaum Cina yang menjadi penghuni majoriti di Pulau Pinang. Disinilah ujian sebenar terhadap dua buah parti dari kaum Cina, MCA dan Gerakan dalam usaha mereka memujuk dan sekaligus merampas negeri Pulau Pinang dari tangan DAP.
Secara amnya, hari ini, DAP menguasai 19 buah kerusi, PKR dan BN masing-masing menguasai 10 buah kerus dan PAS dengan 1 kerusi. Daripada 40 buah kerusi ini, DAP dijangka bakal memperolehi sekurang-kurangnya 17 buah kerusi dimana peluang untuk BN menang pada pilihan raya ini terletak kepada 23 kerusi lagi.
Selain mahu mengekalkan 10 buah kerusi yang kini disandang oleh BN, pastinya kerusi-kerusi milik PKR dilihat sasaran utama dalam usaha mereka memenangi Pilihan Raya Negeri ini. Perkiraannya mudah, andai BN mampu memperolehi 21 kerusi, BN sudah boleh membentuk sebuah kerajaan di Pulau Pinang.
Mungkin ada yang mengatakan, ianya suatu yang mustahil buat BN merampas Pulau Pinang. Namun harus diingat, semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak, Mei lalu, ramai pemerhati politik menjangkakan, BN akan memenangi 65 hingga 68 buah kerusi. Namun, hasil yang dipersembahkan pada 7 Mei yang lalu menyaksikan BN memenangi 72 buah kerusi, pencapaian terbaik BN sepanjang sejarah Pilihan Raya Negeri Sarawak.
Begitu juga pada dua Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Di Kuala Kangsar, pemerhati politik menjangkakan BN mungkin memenangi majoriti 3,000 undi dan di Sungai Besar, BN dijangka mendapat 5,000 undi majoriti. Namun hakikatnya, di Kuala Kangsar, BN memperolehi 6,969 undi dan di Sungai Besar, majoritinya jauh lebih tinggi iaitu, 9191 undi.
Apapun mungkin berlaku dan DUN Pulau Pinang masih belum dibubarkan lagi. Politik sentiasa menyajikan sesuatu yang sukar untuk diduga dan adakalanya menyajikan sesuatu yang mengejutkan. Apa yang pasti, tunggulah pengisytiharan pembubaran DUN Pulau Pinang dan segala ramalan ini mungkin akan tersasar atau mungkin akan menepati ramalan.
0 comments:
Post a Comment