Jurulatih pecut, Mohd. Poad Kassim tidak menolak kemungkinan Khairul Hafiz Jantan mampu memecahkan rekod acara 200 meter kebangsaan, 20.92 saat yang dicetak Tan Sri Dr. M. Jegathesan di Mexico pada 15 Oktober 1968.
Bagaimanapun, Mohd. Poad menjelaskan, kemungkinan itu hanya akan bertukar menjadi positif sekiranya situasi ketika acara itu berlangsung hari ini cukup sesuai untuk Khairul melakukan pecutan pada tahap terbaik.
“Selepas selesai acara 4x100m (petang semalam), Khairul perlu kembali fokus. Bermula petang ini dan malam ini (malam tadi), dia perlu jauh daripada sebarang tekanan supaya dapat melakukan yang terbaik pada acara 200m esok (hari ini).
“Memang jika dilihat pada keputusan saringan acara 200m (tengah hari semalam), Khairul ada peluang untuk pecahkan rekod tapi ia bergantung pada situasi semasa pertandingan berlangsung,” katanya.
Pada aksi saingan 200m semalam, Khairul mencatat 21.14s, sekali gus memadam catatan rekod Sukma, 21.33s yang dilakukan bekas jaguh pecut Terengganu, Nazmizan Muhammad pada temasya edisi 2002 di Sabah.
Mengulas kejayaan kuartet Asmawi Hashim, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Muhammad Azam Masri serta Khairul yang meraih emas selepas mencetak rekod baharu Sukma menerusi catatan 38.9s semalam, Mohd. Poad berkata: “Tumpuan selepas ini ialah membariskan mereka untuk saingan Sukan SEA tahun depan.
MSN (Majlis Sukan Negara) juga telah merancang untuk membenarkan mereka menjalani latihan seterusnya di luar negara.”
0 comments:
Post a Comment