Latar belakang dan usia tidak pernah menjadi halangan untuk seseorang menggapai apa yang diimpikannya. Tiada asas, tiada pengalaman atau tidak mahir juga sama sekali bukan alasan untuk tidak berusaha atau mengetepikan keinginan mencuba sesuatu yang baru. Bimbang pada kegagalan lazimnya didendangkan sebagai punca mengelak daripada melakukan perubahan pada diri.
Namun bagi lelaki ini, definisi ‘gagal’ atau ‘bimbang’ seboleh mungkin dielakkan dalam kamus hidupnya. Pada Amir Syakireen Ramli, seseorang itu hanya boleh dikatakan gagal jika dia enggan mencuba.
“Tetapi kalau gagal selepas mencuba, mengalah tidak sepatutnya jadi pilihan tetapi ia adalah pengajaran terbaik untuk terus bergerak ke depan,” katanya.
Dengan berpaksikan kepada pemahaman itulah yang akhirnya meletakkan lulusan jurusan geologi dari Universiti Canterbury, New Zealand ini antara usahawan muda berjaya dengan lebih 25 papan iklan billboard terpampang wajahnya di lebuh raya seluruh Malaysia.
Selaku pengasas produk penggayaan rambut urban dikenali Hipster Pomade, laluan Amir dalam bidang perniagaan dilihat mudah, tambahan usianya yang belum mencecah 30-an. Hipster Pomade dicetuskan daripada penggunaan pomade yang popular di Eropah sejak awal abad ke-19. Nama ‘pomade’ itu diambil daripada bahasa Perancis, pommade, bermaksud salap.
Nama itu kemudian digabungkan bersama pomum atau pomata yang diambil daripada kombinasi bahasa Latin dan Itali bermaksud epal. Epal hancur menjadi antara bahan utama dalam penghasilan pomade. Berbanding wax atau gel, penggunaan pomade tahan lebih lama dan tidak mengeringkan atau membuatkan rambut berminyak.
Penggunaan pomade juga tidak terhad untuk lelaki, bahkan wanita juga mula menggemarinya kerana aplikasi yang ringkas. Selain lebih 1,000 ejen di seluruh Malaysia, Hipster Pomade boleh didapati di lebih 100 laman web dan media sosial menerusi gerakan #hipsterpomade dan #hpcod(lokasi).
Bagaimanapun, lelaki dari Nilai, Negeri Sembilan ini menegaskan tiada perkara mudah datang bergolek tanpa dirinya perlu mendepani beberapa cabaran getir. “Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan harian pasti ada halangan dan cabaran, bukan hanya di bidang perniagaan.
“Risiko sentiasa ada di mana-mana, jadi di sinilah pentingnya ketahanan mental dan fizikal untuk mengatasi cabaran itu. Saya bermula dari bawah dan secara kecil-kecilan. Atas bantuan mentor dan rakan niaga, saya dapat harungi cabaran itu dengan kesan minimum.
“Pada masa sama, saya percaya setiap apa yang ingin kita usahakan perlu ada pelan tindakan. Dulu saya bergerak tanpa pelan dan hanya bersandarkan niat untuk berniaga bagi membantu orang lain.
Tetapi dengan adanya pelan, perniagaan ini lebih teratur hingga membolehkan saya membantu lebih ramai golongan muda terbabit dalam bidang keusahawanan ini,” ujarnya.
Kaki niaga di bangku sekolah
Mengimbau kembali kisah awalnya sebagai usahawan, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia setahun ini mengatakan dirinya paling seronok ketika Hari Kantin atau Hari Sukan di sekolah. “Setiap kali guru umumkan ada Hari Guru, Hari Kantin dan Hari Sukan, saya antara yang paling teruja kerana dapat berniaga.
“Minat berniaga itu bermula ketika di sekolah rendah. Saya tidak pasti bagaimana saya boleh tertarik berniaga pada usia itu tetapi yang saya ingat rasa kepuasan selepas setiap barang jualan habis dibeli rakan.
“Biasanya saya mendapatkan stok makanan ringan pada harga borong lalu dijual setiap kali adanya pesta di sekolah. Untungnya tidaklah seberapa tetapi keseronokan menjual itu yang tidak dapat saya gambarkan.
“Minat berniaga itu diteruskan di universiti tetapi dengan produk berbeza. Di New Zealand, saya import sarung tangan kulit yang cantik dan berkualiti lalu saya jual pada rakan sekuliah. “Saya kemudian menceburi bidang jual-beli kenderaan di sana kerana harga rendah dan prosesnya mudah. Kiranya apa saja peluang perniagaan yang ada pasti saya cuba.
“Saya jadikan itu sebagai peluang untuk belajar selok-belok perniagaan dan pada masa sama mengembangkan lagi rangkaian kenalan,” ujarnya.
Tamat pengajian di New Zealand, Amir pulang ke Malaysia lalu bertugas dalam industri minyak dan gas di Kuala Lumpur. Amir kemudiannya ditugaskan ke Turkmenistan setahun selepas itu dan peluang yang ada digunakan sebaiknya dengan menjelajah di beberapa negara jiran.
“Pengalaman bekerja di sana membuatkan saya tertarik dengan aktiviti kembara. Saya berpeluang menjelajah ke negara Eropah, selain negara yang berjiran dengan Turkmenistan. Saya juga sempat singgah ke India untuk melawat adik yang melanjutkan pengajian perubatan di sana.
“Di India, saya lihat adanya prospek perniagaan kain sari yang ketika itu menjadi kegilaan dalam kalangan wanita Malaysia. Saya pun memborong kain sari terbabit dan menjualnya di sini. Seronok juga terbabit dalam perniagaan tekstil dan pakaian ini cuma ia lebih rumit kerana saya perlu tahu mengenai trend terkini, jenis kain yang digemari dan warna yang menjadi pilihan ketika itu,” katanya.
Dek banyak tugasan luar, aktiviti perniagaan Amir tidak serancak sebelumnya sehinggalah dia kembali ke tanah air pada 2015. Sambutan Aidilfitri tahun lalu menjadi titik tolak kepada perniagaan yang diusahakannya ketika ini. Semuanya bermula apabila Amir pulang beraya di kampung dan sepupunya menunjukkan cara menggunakan pomade yang dibawa dari luar negara.
“Saya tahu mengenai pomade tetapi tidak pernah lihat atau menggunakannya. Selepas tiga hari mencuba, saya dapati pomade sesuai dengan keadaan cuaca dan keperluan lelaki di negara ini. Ia ringan dan tidak berminyak tetapi ia mudah dibasuh dengan hanya gunakan air. Cuma masalahnya ia agak mahal dan saya percaya tidak ramai yang sanggup menghabiskan RM65 untuk setin produk penggayaan rambut seperti ini.
"Dari situ timbul idea untuk hasilkan produk pomade sendiri. Pada masa sama perkara asas berniaga ialah niat untuk membantu orang lain, jadi saya rasa dengan cara membawa pomade ini ke pasaran tempatan pada harga berpatutan dapat membantu masyarakat khususnya lelaki menggayakan rambut dengan lebih mudah.
“Saya kemudiannya melakukan kajian dan mempelajari mengenai kandungannya. Saya berjaya mendapat formula pomade seperti di Eropah dan saya menggunakan khidmat pengilang tempatan untuk menghasilkannya.
“Dengan cara ini saya berjaya menurunkan harganya ke RM35 untuk setin pomade isian 100 gram. Saya tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh singkat dan kini saya berjaya mempunyai syarikat sendiri dengan tiga tenaga kerja di pejabat.
“Apapun saya akan kembali ke niat asal iaitu ingin membantu ramai lelaki menggayakan rambut dengan penuh yakin pada harga berpatutan. Selain itu, saya mahu membantu lebih ramai usahawan kecil dalam kalangan Melayu untuk aktif dalam bidang ini.
“Saya seronok melihat ramai golongan muda, seawal usia 14 tahun, berminat untuk berniaga. Sebenarnya ramai golongan muda ini mempunyai wawasan dan impian untuk berjaya cuma mereka tidak tahu ruang atau peluang ke arah itu.
“Jadi saya rasa terpanggil untuk membantu golongan muda ini agar impian itu menjadi kenyataan,” katanya. Antara langkah awal Amir ialah tampil dengan program motivasi dan keusahawanan di peringkat sekolah yang berlangsung sejak dua bulan lalu.
0 comments:
Post a Comment