Pihak berkuasa Turki semalam menahan kira-kira 6,000 orang, termasuk pegawai kanan tentera dan hakim selepas menggagalkan cubaan rampasan kuasa. Tindakan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengecam keras cubaan kudeta itu, tetapi pada masa sama menggesa Turki menangani isu itu menurut undang-undang, lebih-lebih lagi selepas tersebar gambar menunjukkan beberapa perancang rampasan kuasa itu diserang.
Menteri Kehakiman, Bekir Bozdaq berkata, kira-kira 6,000 orang ditahan dan jumlah itu dijangka meningkat. “Operasi pembersihan masih dilakukan,” katanya, dipetik oleh agensi berita rasmi Turki, Anadolu.
Menurut kerajaan, 161 orang awam dan tentera terbunuh apabila sekumpulan askar bertindak untuk menggulingkan kerajaan dengan menawan beberapa kawasan strategik di Istanbul dan Ankara. Lebih 100 askar yang terbabit dalam cubaan itu juga mati, kata tentera.
Stesen televisyen NTV melaporkan, 34 pegawai pelbagai pangkat jeneral ditahan setakat ini. Mereka termasuk panglima batalion ketiga tentera darat di Istanbul, Erdal Ozturk dan panglima batalion kedua yang berpangkalan di Malatya, Adem Huduti. Penahanan itu bagaimanapun tidak terhad kepada tentera.
Menurut Anadolu, pendakwa raya turut mengeluarkan waran tangkap terhadap 2,745 hakim dan pendakwa raya di seluruh negara itu. Keseluruhan siasatan itu diketuai oleh pendakwa raya di Ankara dan mereka yang ditahan disyaki menyokong penentang Presiden Recep Tayyip Erdogan - Fetullah Gulen - yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Sementara itu di Mesir, Beberapa akhbar protentera Turki di Mesir menyiarkan laporan salah apabila mendakwa cubaan rampasan kuasa oleh tentera Turki berjaya menggulingkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Sekurang-kurangnya tiga media memaparkan tajuk berita tentera Turki berjaya menggulingkan Erdogan, Sabtu lalu.
“Tentera Turki memalukan Erdogan. Recep Tayyip telah dihapuskan,” lapor muka depan akhbar Al-Ahram. Akhbar Al-Watan pula melaporkan, ‘Tentera mengawal Turki dan menggulingkan Erdogan’. Sewaktu akhbar yang diterbitkan itu menemui orang ramai, kerajaan Turki berjaya mematahkan cubaan rampasan kuasa yang mengakibatkan ratusan mati.
“Apa yang berlaku di Turki bukan satu cubaan rampasan kuasa tetapi revolusi dalaman pihak tentera Turki,” kata hos televisyen prokerajaan Sada el-Balad, Ahmed Moussa. Ahmed merupakan penyokong tentera Mesir yang menggulingkan Presiden Mesir, Mohammed Morsi pada tahun 2013.
Erdogan mengutuk penggulingan Morsi sekali gus menyaksikan kedua-dua negara itu memiliki hubungan tegang. Seorang pengacara rancangan bual bicara Mesir, Osama Kamal, didakwa memerli Erdogan yang muncul dalam satu temu bual televisyen menerusi panggilan telefon selepas beberapa jam berlakunya cubaan rampasan kuasa.
Erdogan dipercayai sedang bercuti ketika kereta kebal mula memasuki jalan raya di Ankara dan Istanbul. Kerajaan Mesir yang belum mengeluarkan kenyataan berhubung rancangan cubaan rampasan kuasa di Turki menasihatkan rakyatnya yang berada di Turki agar tidak keluar dari kediaman masing-masing.
Mesir juga mengumumkan penubuhan sebuah unit di Kementerian Luar untuk memberi bantuan kepada warga Mesir di Turki selain membantu rakyatnya yang terkandas di Lapangan Terbang di Istanbul.
Liputan dan pengumuman tidak matang oleh media Mesir tersebut mencetuskan kemarahan pengguna laman sosial. “Cubaan rampasan kuasa itu hanya berjaya di akhbar-akhbar tempatan Mesir,” tulis seorang pengguna Twitter.
0 comments:
Post a Comment