Keamanan dan kedamaian yang dikecapi dan dinikmati oleh masyarakat di negara ini adalah satu perkara yang tidak mampu untuk dinilai dengan wang ringgit. Ia sangat bermakna dan berharga kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
Ketenteraman dan kedamaian ini bukanlah satu perkara yang mudah dan murah untuk diperoleh. Pepatah Melayu juga ada menyatakan, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Justeru, segala kedamaian dan keamanan ini perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin agar ia dapat dinikmati dan diwarisi dari zaman ke zaman.
Golongan mahasiswa merupakan aset penting kerana mereka adalah waris dan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan. Menjadi satu kewajipan utama untuk memastikan golongan ini mampu menjadi benteng kepada pertahanan negara untuk masa kini dan selamanya.
Dengan jumlah yang mencecah hampir 1.3 juta orang, golongan mahasiswa sudah pasti mampu mengekalkan dan menjadi benteng kukuh kepada kestabilan serta kemakmuran negara. Bagaimanapun, hasrat ini hanya akan tercapai sekiranya golongan mahasiswa mempunyai tiga kriteria yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
Mendapat maklumat yang tepat dan benar
Mahasiswa seharusnya perlu mendisiplinkan diri dengan berusaha mendapatkan informasi dan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang keputusan ataupun tindakan. Mahasiswa perlu sedar, media sosial sering disalah guna oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan konflik dan kekacauan kepada sesebuah negara.
Maklumat dan informasi palsu mengenai individu, masyarakat serta negara sering disebarkan melalui media sosial. Oleh itu, mahasiswa perlu berhati-hati apabila menerima sebarang maklumat daripada media sosial sebelum sebarang tindakan dan keputusan di buat. Mahasiswa perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk memastikan maklumat dan informasi tersebut benar ataupun sebaliknya.
Semangat cintakan negara
Mahasiswa perlu mempunyai semangat cintakan negara yang sangat kental dan kukuh. Sebarang agenda yang cuba merosakkan negara perlu ditentang oleh golongan mahasiswa. Justeru, isu mahasiswa bersekongkol dengan pihak ekstremis atau orang luar untuk memperlekeh kepimpinan negara tidak seharusnya wujud sama sekali.
Mahasiswa seharusnya menjadi benteng pertama untuk menghalang usaha dan inisiatif yang tidak sihat daripada menular masuk ke negara tercinta ini. Kekuatan suara dan tenaga mahasiswa yang bersatu dalam mempertahankan negara ini daripada dicemar oleh pihak-pihak tertentu sudah pasti akan menampakkan impak yang sangat positif kepada kemakmuran dan kedamaian negara sepanjang masa.
Patuh kepada peraturan negara
Mahasiswa juga perlu sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang yang diguna pakai di negara ini sama ada di peringkat universiti, negeri atau negara. Semua peraturan dan undang-undang yang digubal adalah bertujuan untuk menjamin kemakmuran dan keselesaan agar dapat dinikmati oleh semua ahli masyarakat.
Sokongan padu daripada golongan mahasiswa untuk akur dan patuh kepada peraturan dan undang-undang negara turut menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran di negara tercinta ini.
Kesimpulannya, golongan mahasiswa yang mewakili sebahagian besar daripada golongan remaja atau Generasi Y di negara ini mampu untuk menjadi benteng utama kepada kemakmuran dan keharmonian negara sekiranya golongan ini mengamalkan tiga kriteria utama tersebut.
Imam al-Ghazali pernah berpesan untuk melihat keadaan sesebuah masyarakat dan negara di masa hadapan, lihat kepada generasi muda sekarang. Sekiranya mereka kuat, hebat dan cemerlang, keadaan yang sama juga akan berlaku kepada masyarakat dan negara tersebut di masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment