Kemuncak sambutan ulang tahun ke-50 Vans, jenama itu menganjurkan ‘Go Skateboarding Day’ di Skate Park Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menariknya pemenang ditentukan berdasarkan sorakan terkuat diterima daripada penonton menerusi aksi peluncur papan selaju yang membuat persembahan dalam tempoh tiga minit diberikan.
Tidak hairanlah pusat sukan riadah selama ini hening, bertukar gamat dengan sorakan penonton yang menyokong pasukan membuat persembahan masing-masing.
Sempena ulang tahun ke-50 Vans
Menurut wakil Vans, Munir Muhammad, penganjuran Go Skateboarding Day tahun ini paling meriah meskipun diraikan ketika bulan Ramadan. “Go Skateboarding Day antara kejohanan ‘skate’ dinanti-nantikan peluncur melangkaui Asia.
Menariknya, sambutan kali ini bersempena ulang tahun ke-50 Vans, kita bekerjasama dengan 50 kedai Vans mengadakan perlawanan di serata Asia. “Vans Malaysia mengadakan perlawanan di dua lokasi serentak iaitu Bukit Kiara Skatepark, Kuala Lumpur dan Jungle Skatepark, Kota Kinabalu, Sabah pada bulan Ramadan.
“Kita mendapat sambutan daripada jenama ‘street’ tempatan seperti Hellbent, Krookz, Showroom, KiaraLife. Ini adalah kemuncak ulang tahun Vans yang disambut sejak Mac lalu. Kita tidak sahaja meraikan pemain, juga mengadakan pameran seni artis melukis seni permukaan papan luncur selain konsert mini,” katanya.
Kejohanan paling prestij
Jelas ketua pasukan Hellbent, Azizul Awang, sejak mengetahui penganjuran Go Skateboarding Day, dia dan rakannya membuat persiapan secukupnya bagi menyertainya. “Kejohanan ini antara paling prestij kerana tidak sahaja diraikan di Malaysia, malah seluruh dunia,” katanya yang lebih mesra dipanggil Gjoy dalam komuniti sukan itu,
“Seperti pasukan lain bertanding, tentu ramai ‘otai’ turun padang dan kali ini pasti kelibat seperti Showroom dan KL Skaters dilihat memberi saingan sengit seperti kita jangkakan. Tiga minit demo itu kena manfaat dan disebabkan ia cabaran berpasukan, kami mesti memastikan ‘kekuatan’ serta penguasaan dalam ‘trick’ setara supaya dapat sorakan kuat daripada penonton. Itu yang menjadi penentu kemenangan.
“Penilaian tidak mengikut mata atau pengadilan juri, sebaliknya ditentukan dengan kekuatan sorakan penonton. Ini, pada saya, cara penilaian unik dan adil kerana menggunakan suara ramai terdiri daripada pemain papan selaju hadir,” katanya. Dia juga tidak menafikan sebarang kemenangan sungguh bermakna.
Bantu perkembangan sukan papan selaju
Turut teruja dengan sambutan ulang tahun ke-50 Vans ialah pereka ‘ramp’ Ahmad Fadzil Musa yang berkolaborasi dengan jenama itu. Katanya, istimewa untuk sambutan Vans ke-50, dia menghasilkan laluan berhalangan mempunyai tema bersama ‘prop’ untuk menambahkan lagi keterujaan kepada peserta.
“Tentulah sesuatu luar biasa buat kru saya apabila pernah mengubah suai trek mengikut tema tertentu. Contohnya, dalam perlawanan sebelum ini di The Slate Kuala Lumpur, kami menggunakan tema seperti tapak pembinaan,”
“Perincian latar belakang kita muatkan benda biasa kita nampak di kawasan berkenaan. Malah kru mengenakan pakaian seperti pekerja tapak binaan agar memberi elemen tambahan kepada perasaan peserta,” katanya, di samping menyifatkan sokongan jenama besar seperti Vans membantu perkembangan industri sukan papan selaju.
Pendapat Ahmad disokong Donald Abraham yang juga pelukis motif papan selaju. Dia gembira dapat mengetengahkan hasil kerjanya bersama rakan artis dalam program sambutan ulang tahun ke-50 Vans. Kata Donald, pelukis papan selaju sepertinya berbesar hati diberi ruang untuk pamerkan hasil kerja dalam program anjuran jenama itu.
“Artis seperti kami jarang orang tahu karya kami, justeru program ini dapat memperkenalkan kerja seni kami di khalayak ramai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment