My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 20 July 2016

    Siapa Jaguh Pecut SUKMA Sarawak 2016?


    Gelanggang olahraga Sukan Malaysia (Sukma) 2016 yang akan dibuka pada 26 Julai ini bakal menyaksikan pertembungan sengit antara tiga jaguh pecut. Kelibat jaguh pecut Sarawak, Jonathan Nyepa serta dua juara muda dari Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Mohd. Khairul Hafiz Jantan sudah pasti menjadi tumpuan menjelang saingan acara utama olahraga, 100 meter (m) lelaki. 

    Sehubungan itu, ketiga-tiga jaguh muda tersebut menyertai senarai pilihan utama untuk mempamerkan persaingan sengit pada aksi final bagi merebut gelaran raja pecut temasya dwitahunan edisi ke-18 yang berlangsung di Sarawak ketika ini.

    Jonathan yang meraih pingat emas temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Singapura baru-baru ini dilihat bakal memberi cabaran hebat kepada Khairul Hafiz selaku juara bagi acara 100m pada Kejohanan Remaja Asia 2016 di Vietnam sebelum ini.

    Tidak terkecuali, Badrul yang pernah mencatat 10.29 saat pada temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei tahun lalu meskipun rekod tersebut tidak diiktiraf juga akan menjadi pencabar terhebat kepada kedua-dua jaguh pecut berkenaan.

    Catatan 10.29s dilakukan Badrul turut mengatasi rekod kebangsaan 10.30s yang dicetak dan masih disandang legenda pecut negara, Watson Nyambek pada 1998. Status dibawa Badrul selaku pelari pecut yang pernah mengatasi rekod Watson, sudah pasti menjadi siren amaran kepada para pencabarnya meskipun ia tidak diiktiraf akibat isu teknikal.

    “Persediaan berjalan lancar, tidak ada masalah. Untuk meng­hadapi Badrul dan Hafiz juga tidak ada masalah,” ujar Jonathan ketika ditemui di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan kelmarin.

    Sebagai rekod, Jonathan mencatat 10.62s semasa memenangi pingat emas AUG 2016, manakala Khairul Hafiz pula merekodkan 10.36s ketika meraih gelaran remaja terpantas Asia 2016 di Ho Chi Minh baru-baru ini. Mengulas kelebihan beraksi selaku atlet tuan rumah bagi meraih gelaran raja pecut di Bumi Kenyalang, Jonathan berkata, faktor tersebut tidak memberi tekanan kepadanya.

    “Tidak ada apa-apa tekanan. Saya bersedia sepenuhnya untuk hadapi Badrul dan Hafiz. Saya tidak fikir mengenai kalah atau menang, saya akan hadapi dengan baik,” tambah Jonathan yang turut mencatat 10.56s ketika mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan Universiti Dunia 2015 di Korea Selatan.

    Berdasarkan rekod serta pencapaian ketiga-tiga jaguh pecut tersebut, gelanggang Sukma 2016 bakal menyaksikan beberapa kemungkinan termasuk rekod baharu kebangsaan yang bakal dicipta di Bumi Kenyalang.

    Sudah tentu, hanya seorang yang akan dinobatkan selaku raja pecut apabila mereka menamatkan cabaran di trek final. Sama ada Jonathan, Badrul atau Khairul Hafiz, segala persoalan akan terjawab sekiranya mereka benar-benar beraksi di trek final seperti yang diramalkan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Siapa Jaguh Pecut SUKMA Sarawak 2016? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top