Seorang bekas tukang masak berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh seorang warga Bangladesh tanpa niat, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Izwan Mohamad Yatim, 30, yang sebelum ini berdepan hukuman gantung kerana membunuh bagaimanapun ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak. Mohd Sofian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap tertuduh selepas mendengar hujahan pendakwaan dan mitigasi pembelaan pada prosiding semalam.
Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, hukuman ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam dan berbentuk pengajaran. “Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang mana tindakan tertuduh memecah masuk rumah pekerja warga asing itu membawa kepada pergelutan sehingga tertuduh menyebabkan kecederaan yang membawa kematian mangsa.
“Walaupun tindakan tertuduh hanya untuk mempertahankan diri, sekiranya dia tidak memasuki rumah terbabit secara salah, tidaklah berlaku pergaduhan. Tawaran pertuduhan pilihan juga sebagai peluang kedua kepada tertuduh dan diharap apabila selesai hukuman, tertuduh akan menjadi orang berguna kepada masyarakat, keluarga dan negara,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Ahmad Izwan yang hadir berbaju T putih dan seluar jeans biru itu didakwa mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh Emdadul Islam di hadapan sebuah rumah di No 186, Jalan Pinang 1, Taman Kota Kulai dekat Kulai, antara 1 hingga 1.30 tengah hari, 9 Julai 2014.
0 comments:
Post a Comment