AirAsia X Bhd merangkul dua anugerah pada majlis anugerah Skytrax World Airline 2016 di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun berkata, AirAsia X sentiasa menambah baik pengalaman kabinnya.
“Anugerah ini menunjukkan perkhidmatan premium kami bukan sahaja yang terbaik, tetapi sebaik mana-mana syarikat penerbangan dengan perkhidmatan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, AirAsia X Premium Flatbeds menawarkan pelbagai keselesaan dan utiliti peribadi seperti tempat letak kepala boleh laras dan skrin peribadi. Penumpang dengan Premium Flatbed boleh menikmati perkhidmatan dan produk premium termasuk daftar masuk keutamaan serta elaun bagasi 40 kilogram, makanan, bantal dan selimut.
AirAsia turut dinamakan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia dan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia bagi tahun kelapan berturut-turut pada majlis anugerah yang sama.
Anugerah Skytrax adalah penanda aras global kecemerlangan syarikat penerbangan dengan lebih 19 juta pengundi yang mengundi. Undian berdasarkan kaji selidik pelanggan yang diterima dari seluruh dunia itu merangkumi 104 kewarganegaraan dan diukur berdasarkan piawaian 41 petunjuk prestasi utama barisan produk dan perkhidmatan syarikat penerbangan.
0 comments:
Post a Comment