My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 22 July 2016

    Jakarta Disyor Minta Maaf


    Satu panel mahkamah antarabangsa merumuskan pembunuhan beramai-ramai di Indonesia pada 1965 adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan Amerika Syarikat, United Kingdom serta Australia turut terbabit dalam jenayah itu. 

    Laporan mereka menganggarkan antara 400,000 dan 500,000 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Indonesia (PKI), dibunuh oleh skuad penembak tentera. Menurutnya, tindakan menjadikan peristiwa itu rahsia menyebabkan jumlah sebenar yang mati sukar ditetapkan.

    Panel yang dipengerusikan oleh ketua hakim Zak Yacoob, bekas hakim Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan bersidang selama empat hari di The Hague, Belanda, November tahun lalu dan mendengar keterangan lebih 20 saksi, sebahagiannya berbuat demikian di belakang tabir bagi melindungi identiti mereka.

    Dalam keputusan yang diumumkan semalam, panel itu menyenaraikan beberapa dakwaan yang mereka berpendapat mempunyai asas yang kukuh, termasuk kekejaman, penderaan tidak berperikemanusiaan, penjara yang tidak sepatutnya dan buruh paksa hingga ke tahap abdi.

    Panel berkenaan mengesyorkan supaya kerajaan Indonesia memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mereka, menyiasat jenayah terhadap kemanusiaan dan memastikan mangsa yang terselamat menerima pampasan sewajarnya.

    Bagaimanapun, di Jakarta, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan, Luhut Pandjaitan berkata, Indonesia mempunyai sistem perundangan sendiri dan tidak ada pihak luar boleh menentukan cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Menurutnya, ia juga tidak akan tunduk kepada syor tribunal itu.

    “Kami negara besar. Kami akui masalah itu dan akan menyelesaikan masalah berkenaan mengikut cara kami dan menerusi nilai universal,” kata Luhut.

    Kejadian pertumpahan darah pada 1965 itu berpunca daripada kegagalan rampasan kuasa dan pembunuhan beberapa jeneral tentera. Seorang pegawai berpangkat mejar jeneral ketika itu, Suharto, menuduh komunis bertanggungjawab, menggulingkan Presiden Sukarno dan mengerah menangkap mereka yang terbabit.

    Suharto kemudian mengambil alih jawatan presiden pada 1967 sehingga dia meletak jawatan pada 1998. Kumpulan hak asasi sebelum ini menganggarkan, kira-kira sejuta orang terbunuh. Tribunal berkenaan yang dikenali sebagai Yayasan IPT 1965 ditubuhkan secara rasmi pada 2014 dan terdiridaripada rakyat Indonesia yang hidup dalam buangan, aktivis hak asasi manusia, anggota pertubuhan mangsa dan penyelidik.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jakarta Disyor Minta Maaf Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top