My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 28 July 2016

    Bezza Memang Berbeza


    Perodua Bezza sememangnya berbeza berbanding model keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) lain apabila menjadi kereta kategori sedan pertama sejak 22 tahun terbabit dalam industri automotif tempatan. 

    Idea untuk menghasilkan kereta sedan pertama itu bermula menerusi jentera konsep yang diperkenalkan pada 2010 sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun berkenaan. Bermodal peruntukan RM300 juta, sedan kompak itu mula dibangunkan pada 2014 sebelum dilancarkan Khamis lalu di mana ia mempunyai 95 peratus komponen tempatan.

    Malah kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana Perodua Bezza dibina dan dibangunkan oleh hasil jurutera tempatan sepenuhnya. Perodua Bezza ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.0 liter (Standard G), 1.3 liter (Premium X) dan model tertinggi, 1.3 liter (Advance). Ketiga-tiga varian itu didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan serta manual lima kelajuan. 

    Jentera berkenaan dipasang di Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang dilengkapi dengan kemudahan termoden menggunakan kadar automasi melebihi 75 peratus di mana kilang itu turut memasang Perodua Axia.

    Ketika diberi peluang memandu uji jentera ini beberapa hari sebelum pelancarannya, penulis boleh katakan Perodua Bezza mempunyai tiga ciri utama yang sangat istimewa. Ciri pertama adalah teknologi termaju membabitkan rangkaian kuasa baharunya iaitu 1.3 liter Dual VVT-i dan 1.0 liter VVT-i.

    Enjin baharu dengan padanan transmisi manual lima kelajuan ternyata menawarkan tahap penggunaan bahan api terbaik apabila mencapai 22.8 kilometer setiap liter bagi enjin 1.0 liter, manakala 1.3 liter mencatatkan 21.7km/l.

    Ia juga dilengkapi dengan aksesori ciri terkini yang boleh dilihat pada varian tertinggi menerusi 1.3 liter Advance membabitkan sistem Henti Melahu di mana enjin akan mati sendiri apabila berhenti dan dihidupkan semula secara automatik sebaik kaki mula menekan pedal minyak.

    Varian tertinggi itu turut menawarkan sistem multimedia skrin sesentuh yang mesra dengan pengguna telefon pintar Android. Sekiranya disambungkan menggunakan kabel USB, ia akan memaparkan visual yang sama pada sistem multimedia berkenaan.

    Multimedia dengan teknologi ‘Smart Link’ itu memudahkan pemandu menggunakan navigasi, membuat atau menjawab panggilan dan mendengar muzik. Port USB turut disediakan pada konsul tengah bahagian belakang bagi memudahkan penumpang mengecas telefon pintar.

    Ciri kedua adalah keluasannya yang boleh dinobatkan sebagai juara dalam kategori segmen A kompak di negara ini. Kapasiti ruang but belakang Perodua Bezza mencecah 508 liter. Malah, kapasiti berkenaan lebih besar daripada kereta segmen B membabitkan Toyota Vios, Nissan Almera dan Proton Saga.

    Padanan ruang but yang besar itu sekali gus memenuhi keperluan dan gaya hidup masyarakat Malaysia terutama mahu mencari kenderaan balik kampung serta mampu mengisi pelbagai barangan. Untuk mendapat lebih ruang tempat duduk belakangnya juga boleh diubah pelbagai cara mengikut keperluan penggunanya.

    Ciri terakhir adalah paling penting sebelum membeli kereta membabitkan harganya. Harga ditawarkan sangat mampu milik dan tidaklah terlalu mahal selain ditawarkan pelbagai varian. Bagi varian paling rendah, 1.0 liter Standard G (automatik) RM39,300 manakala spesifikasi tertinggi RM50,800.

    Selain itu, ia sangat sesuai kepada golongan berpendapatan sederhana yang mahu memiliki kenderaan lebih luas berbanding membeli kereta kompak lain di mana harganya tidak banyak berbeza. Malah, Program Penilaian Kenderaan Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) memberi pengiktirafan lima bintang terhadap Perodua Bezza varian 1.3 liter Advance selepas ia dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan.

    Sekiranya mahu Perodua Bezza kelihatan lebih garang, mereka boleh memilih aksesori GearUp membabitkan kit badan, sarung kerusi dan panel pintu eksklusif menerusi Pakej Dynamic serta Stylish yang dijual antara RM2,265 sehingga RM2,600.

    Ketika menguji secara ringkas dengan mengelilingi litar ujian Perodua di Rawang, Selangor, penulis diberi peluang memandu dua varian berbeza iaitu 1.0 liter Standard G manual dan Advance 1.3 liter automatik.

    Pemanduan 1.0 liter manual, enjinnya menawarkan 67hp dengan 91Nm tork di mana penulis rasa kenderaan ini memberi prestasi lancar antara kelajuan 0-100 kilometer sejam (km/j) biarpun dalam kenderaan mempunyai empat orang. Bagaimanapun sekiranya mahu mengerah tenaga melebihi 100km/j, jentera ini sedikit lambat untuk mencecah kelajuan melebihi 120km/j.

    Bagi penulis, kuasa yang dibekalkan sudah cukup untuk kegunaan dalam bandar atau menyusuri lebuh raya secara santai kerana ia bukannya dibina untuk pemanduan agresif. Bersesuaian dengan harganya RM37,300, penulis rasakan ia sangat berbaloi untuk dimiliki.

    Sementara itu, bagi Advance 1.3L automatik memiliki ciri yang terbaik dalam keluarga Perodua Bezza. Sudah pastinya, enjin 1.3L yang menghamburkan 94hp dengan tork 121Nm menawarkan prestasi mantap berbanding model pandu uji sebelumnya. Kuasa dibekalkan tiada tandingan dalam kelasnya apabila mampu memecut antara 0-100km/j dengan mudah.

    Malah, pecutan untuk melebihi 120km/j tiada masalah dalam jarak singkat. Ketika berhenti sepenuhnya dalam gear ‘D’, sistem Henti Melahu berfungsi di mana enjin dimatikan, tetapi penyaman udara serta komponen elektrik lain masih lagi berfungsi. Ternyata sistem ini memberi penjimatan bahan api optimum bagi pemanduan di bandar dalam kesesakan jalan raya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bezza Memang Berbeza Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top