Bagi individu yang lahir pada 1980-an atau 1990-an, mereka pasti menikmati keghairahan animasi Pokemon yang kini kembali dengan game pula, Pokemon Go. Venusaur, Charizard, Blastoise, Pikachu dan beberapa watak Pokemon lain kini berselerak di bumi! Anda pula menjadi pelatih menyertai satu daripada tiga pasukan dalam pertempuran berprestij dan pemilikan Gimnasium bersama-sama Pokemon.
Pokemon Go membolehkan anda menjadi pelatih Pokemon sebenar dan bakal mulakan pengembaraan mencari Pokemon menggunakan telefon pintar. Game terbabit berdasarkan teknologi ‘augmented reality’ (AR) yang memerlukan anda mencari dan menangkap Pokemon menerusi skrin telefon pintar.
Pokemon yang muncul di beberapa lokasi tertentu berdekatan kawasan anda pula bergantung kepada geografi. Sebagai contoh, Pokemon air akan muncul di kawasan sumber air seperti sungai, laut mahupun lopak air. Untuk menjejaki Pokemon ini, anda perlu mengaktifkan fungsi GPS di telefon pintar terlebih dahulu.
Peta yang direka dalam permainan turut menampilkan objek dan infrastruktur dalam dunia sebenar. Malah, terdapat ikon Pokestop di dalam peta yang membenarkan anda membeli Pokeball dan barangan lain seperti Potion. Pokestop boleh dijumpai di monumen, taman dan pusat komuniti.
Setakat ini Pokemon Go belum dikeluarkan secara rasmi di Malaysia namun pemain di negara ini terutama remaja sudah tidak sabar mencubanya malah ada yang memindah turun fail APK (akses kepada Pokemon Go di luar Malaysia) meskipun petanya tidak lengkap.
Dunia kini menghadapi kegilaan
Pokemon Go yang dicipta John Hanke yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembangun, Niantic Inc mengambil masa selama 20 tahun untuk menyiapkan game terbabit. Setiausaha Agung Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) Rinie Ramli berkata, Pokemon Go sangat dinantikan kaki game di negara ini.
“Ia game yang menjadi mimpi semua peminat Pokemon kerana ia benar-benar memberi peluang untuk mereka untuk menjadi ‘Pokemon Trainer’ di dunia realiti yang menggunakan teknologi AR,” katanya.
Menurutnya, game terbabit berpotensi untuk kaki game menjadikan dunia permainan seakan-akan sebuah padang permainan digital terbesar. “Ramai penduduk di Malaysia dan dunia membesar dengan Pokemon sebab itu ia menjadi game yang hangat di pasaran. Ia memberi perspektif baru kepada orang ramai untuk melihat dunia sebagai tempat untuk diterokai dan berhibur bersama-sama,” katanya.
Tambah Rinie, Pokemon Go juga membuka peluang kepada bisnes yang menggunakan Pokemon Go untuk mempromosikan bisnes mereka dengan menawarkan pakej berhubung kait game terbabit. Rinie juga mengulas mengenai kelewatan pembangun menawarkan game terbabit ke Malaysia sebagai strategi untuk memantapkan game terbabit.
“Pasti ramai yang kecewa kerana tak sabar untuk menjadi pelatih Pokemon tapi kita perlu faham mungkin pihak pembangun perlu meneliti dahulu tetapan dan ‘programing’ untuk pastikan ia tidak membahayakan pemain,” katanya.
Katanya, pembangun aplikasi terbabit perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk memastikan keselamatan semua pihak. “Kita tidak mahu Pokemon Go menyenaraikan lokasi berbahaya sebagai tempat yang perlu dilawati oleh pemain untuk menangkap Pokemon,” katanya.
Di Amerika Syarikat, dilaporkan dua remaja yang memburu Pokemon pada lewat malam nyaris terbunuh selepas kereta mereka ditembak seorang penduduk. Remaja berusia 19 dan 16 tahun yang nama mereka tidak didedahkan, memburu Marowak dan Tauros dalam permainan Pokemon Go apabila mereka meletakkan kereta di depan kediaman seorang lelaki pada jam 1.30 pagi.
Pemilik rumah itu yang berumur 37 tahun terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi bising di luar sebelum menghampiri kenderaan yang disangkanya cubaan merompak. Pengasas bersama firma pemasaran media sosial yang kini mengkaji kesan teknologi, Choo Mei Sze berkata, kita belum melihat kesan Pokemon Go kepada masyarakat di negara ini, namun boleh melihat contoh terdekat di Hong Kong.
“Masyarakat di Asia berbeza dengan Barat apabila kita masih beradab dan tidak mahu dipandang serong. Secara umumnya, masyarakat Asia dikategorikan sebagai ‘collectivist’ dan tidak mahu kelihatan terlalu menonjol,” katanya.
Katanya, keghairahan permainan terbabit memang tidak dapat dinafikan namun kesannya tidak terlalu kuat seperti di Barat. “Remaja akan menghadapi tekanan untuk bermain game ini begitu juga orang dewasa yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Pokemon Go.
“Ia kerana media sosial mempromosikannya secara meluas dan pengguna ingin mengetahui mengenai keghairahannya,” katanya. Beliau berkata, game terbabit sangat positif namun ibu bapa perlu memantau anak mereka tidak terlalu ketagih dan mengabaikan keselamatan. “Ia boleh mendatangkan bahaya jika terlalu leka sehingga tidak mengendahkan keadaan trafik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment