Kemalangan yang membabitkan sebuah bas ekspres yang merempuh 10 buah kereta di Terowong Menora, 10 Julai lalu terus diperkatakan ramai pihak. Ada beberapa pihak pantas menunding jari terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Darat Malaysia (SPAD) kononnya, SPAD tidak melakukan perkara yang patut untuk mencegah kemalangan seperti itu berlaku.
Sebenarnya, dakwaan berkenaan jelas tidak berasas sama sekali. Menerusi sidang media yang dilakukan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar petang semalam, beliau menegaskan SPAD bukanlah agensi yang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap sesuatu kes yang melibatkan pengangkutan awam di Malaysia.
Orang ramai sebenarnya telah dikelirukan dengan laporan media sehingga ada pihak pantas menunding jari kearah SPAD berhubung kes berkenaan. Sebenarnya, tiga agensi yang selalunya akan terlibat bila berlaku sesuatu kemalangan. Agensi berkenaan adalah pihak PDRM, JPJ dan Kementerian Pengangkutan.
Untuk lebih tepat, jika berlaku sesuatu kemalangan, pihak PDRM akan mengadakan siasatan jenayah samada individu terbabit telah melakukan kesalahan mengikut Penal Code atau Akta Jalanraya. Bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula, mereka akan melihat samada ada kegagalan dari segi kenderaan atau pemandunya. Malah pemilikan PSV atau tidak juga turut akan disiasat oleh JPJ.
Ketiga, di bawah Kementerian Pengangkiutan, ianya memang sudah menjadi satu amalan untuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya (MIROS) yang membuat siasatan mendalam terhadap sebab dan kesan kemalangan itu berlaku dan akan mengamukakan laporan penuh kepada Menteri Pengangkutan.
SPAD menjadi agensi terakhir yang akan mengambil tindakan setelah semua agensi-agensi yang berkenaan siap melakukan siasatan meereka. Pihak SPAD akan melihat samada semasa siasatan ini dijalankan pihak SPAD boleh mengambil tindakan untuk menggantung lesen pengusaha-pengusaha bas berkenaan.
Akan tetapi, jangan lupa bahawa SPAD tidak boleh mengetepikan proses undang-undang. Ini kerana kita adalah sebuah negara yang berasaskan kepada undang-undang. Kita tak boleh ambil tindakan serta merta. Semua perkara perlu ada proses yang perlu diikuti.
Justeru, semua pihak dinasihatkan usah terlalu mudah mengandaikan sesuatu perkara mengikut pemahaman mereka sahaja. Pihak SPAD sebenarnya bukanlah agensi yang bertanggungjawab terhadap semua perkara di jalan raya. Meletakkan semua kesalahan dibahu SPAD sebenarnya merupakan satu perkara yang tidak adil dan jelas tidak bertanggungjawab.
0 comments:
Post a Comment