My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 15 July 2016

    Ramai Lagi Pemain Yang Mahu Bersara - TMJ



    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, beberapa pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) telah bertemu baginda terlebih dahulu bagi menyuarakan hasrat untuk bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan. 

    Baginda yang juga pemilik Johor DT bertitah, para pemain tersebut menyatakan hasrat demikian sejurus mesyuarat rasmi kelab mengenai kelemahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menjalankan tugas dan pentadbirannya baru-baru ini.

    Titah baginda, sebahagian daripada pemain tersebut meminta baginda membantu untuk membuat pengumuman mengenai keputusan mereka yang mahu bersara daripada beraksi bersama skuad Harimau Malaysia.

    “Mereka tidak mahu meng­umumkannya melalui media dan akaun media sosial sendiri kerana terdapat ramai peminat bola sepak yang tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan tindakan mereka. Saya bersetuju dan mengarahkan pegawai di kelab kami untuk mengendalikannya melalui laman rasmi Johor DT,” titah baginda menerusi laman Facebook, Johor Southern Tigers semalam. 

    Mengulas mengenai keputusan persaraan pemain-pemain itu, Tunku Ismail bertitah, pemain berkenaan sayangkan negara mereka dan mewakili Malaysia adalah penghormatan terbesar yang pernah dilalui dalam kerjaya mereka. “Mereka bukan melakukannya kerana tidak suka kepada Malaysia. Mereka me­lakukan kerana mereka adalah manusia seperti anda dan saya,” titah baginda. 

    Titah Tunku Ismail, pemain membuat keputusan demikian kerana mereka sudah letih dengan ‘panggilan’ yang tidak sepatutnya yang mana mereka perlu menghabiskan masa berbulan-bulan di kem dengan latihan yang tidak mencukupi dan tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan. 

    “Mereka terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengambil hal ehwal kebajikan mereka dan tidak berbuat apa-apa apabila rakan-rakan mereka tidak menerima gaji daripada kelab ma­sing-masing.

    “Mereka juga terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan. Saya berdiri bersama pemain-pemain ini,” titah baginda.

    Tunku Ismail bertitah, terdapat ramai lagi pemain yang mahu mengambil tindakan sama seperti pemain Johor DT lakukan tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan mereka.

    Titah baginda, pemain telah cuba pelbagai cara yang sepatutnya dan profesional yang mungkin untuk mengendalikan perkara-perkara itu seperti me­rujuk kepada Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan menyuarakan masalah kepada jurulatih dan pegawai FAM. 

    “Bagaimanapun seperti biasa, FAM lakukan apa yang biasa mereka lakukan iaitu mengabaikan mereka sama seperti bagaimana mereka mengabaikan kelab dan penyokong bola sepak di seluruh negara selama 30 tahun,” titah baginda.

    Tunku Ismail bertitah, Malaysia memerlukan ‘orang bola sepak’ serta jurulatih profesional dan bukannya businessman untuk Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP). “Anda sepatutnya menjaga kepentingan kelab dan penyokong. Bukan kepada beberapa individu tertentu yang membuat jutaan ringgit,” titah baginda.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ramai Lagi Pemain Yang Mahu Bersara - TMJ Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top