My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 22 July 2016

    Mudah Ditarik Ke Mana Saja


    Boleh dijadikan tempat berniaga, bersantai, tempat tidur atau mengangkut barang. Itulah keistimewaan wagon mini serba guna yang mudah ditarik ke mana sahaja. Bagi penjaja, ia sesuai digunakan kerana wagon mini ini boleh ditarik menggunakan semua jenis kereta.

    Pemilik lain pula boleh menggunakan wagon mini ini sebagai tempat tidur ketika mahu bermalam di kawasan perkhemahan kerana ia boleh memuatkan katil dua tingkat - idea menarik untuk dibawa ke kampung ketika balik beraya!

    Bagaimanapun, me­ngikut undang-undang jalan raya Malaysia, hanya kenderaan 1,000cc ke atas boleh menarik wagon ini. Ia sekali gus mampu mengatasi masalah penjaja jalanan kerana dengan menggunakan wagon mini ini, mereka boleh memindahkan peralatan sebaik selesai berniaga - konsep sama seperti trak makanan (food truck).

    Dari segi rekaan dan spesifikasinya, wagon mini serba guna ini tidak mempunyai enjin dan perlu ditarik menggunakan dua roda yang disediakan. Pengimport dan pengeluar utama wagon berkenaan Mohamad Normi Wan Teh berkata, tidak seperti trak makanan lain, pengguna tidak perlu mengambil lesen khas kerana ia ditarik menggunakan kereta biasa.

    Katanya, wagon diimport dari China itu bukan saja tahan lasak, malah ringan kerana diperbuat daripada kaca gentian. “Mulanya ada pengguna risau sama ada ia mampu ditarik dengan kereta, namun apabila sudah diuji, ia tidak mendatangkan masalah kerana ringan.

    “Juga tidak perlu risau menggunakannya di kawasan terbuka kerana ia tahan lasak serta kalis air dan antikarat,” katanya.

    Katanya, wagon itu memenuhi piawaian dan standard Eropah dan Asia serta mempunyai jaminan membabitkan kerosakan dan kecacatan pada pembuatan selama 13 bulan. Setiap unit wagon itu disediakan dokumen leng­kap dan nombor casis bagi membolehkan ia didaftar di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Pengguna hanya perlu mendapatkan lesen memandu trak bawah satu tan di JPJ bagi membolehkan mereka menarik wagon berkenaan di jalan raya,” katanya.

    Beliau berkata, bagi pemilik wagon yang ingin menggunakannya untuk tujuan perniagaan, mereka perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan lesen niaga bergerak. “Lesen niaga bergerak itu sama seperti yang ditawarkan kepada trak makanan lain, namun kami berharap ada lesen berasingan disediakan untuk wagon ini.

    “Maklumat terbaru yang kami dapat, Bahagian Pelesenan dan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menimbang untuk menyediakan lesen berasingan untuk wagon ini,” katanya.

    Setiap unit wagon turut didatangkan dengan sistem brek dan lampu belakang untuk keselamatan apabila berada di jalan raya. Penyambungan sistem brek wagon dengan kereta boleh dilakukan di mana-mana bengkel. Kuasa elektriknya pula boleh dijana daripada generator mahupun penyambungan di mana-mana soket dari premis berdekatan.

    Bagi yang tidak mahu menggunakan wagon itu di jalan raya, model statik turut ditawarkan. Wagon jenis itu sesuai digunakan di dalam pusat beli-belah atau dijadikan gerai tetap. Ia dijual pada harga RM12,000 hingga RM20,000 mengikut perkakasan dan peralatan yang disediakan.

    “Peralatan dapur yang kami sediakan mengikut standard profesional dan ada pelbagai pilihan mengikut kegunaan seperti tempat menggoreng, alat mengukus, pemanggang, sinki dan banyak lagi,” katanya.

    Selain itu, katanya, pemilik boleh memiliki beberapa unit dan membawa semuanya ke tempat niaga hanya menggunakan sebuah kereta. “Jika pemilik perlu mengambil wagon lain, hanya cabut penyambungnya dari kereta, kemudian boleh bergerak ke mana-mana,” katanya.

    Ruangan dalaman wagon berkenaan boleh memuatkan dua orang dewasa dengan selesa selepas peralatan dapur dimasukkan. Namun, ruang dalaman wagon ini tidak terhad kepada ruang niaga untuk makanan, malah boleh diubahsuai mengikut kehendak pemilik.

    Menurut Normi, walaupun kebanyakan pemilik wagon itu menjalankan perniagaan berasaskan makanan, ada beberapa peniaga menjadikannya sebagai butik atau kedai runcit bergerak. “Selain digunakan untuk perniagaan, wagon ini juga boleh dijadikan tempat tidur seperti karavan mini dan boleh dibawa ke tapak perkhemahan.

    “Selepas diubahsuai, ia mampu memuatkan sebuah katil dua tingkat (bujang) yang cukup selesa untuk tidur,” katanya. Normi berkata, penggunaan wagon serba guna itu bukan saja memberi kelainan pada landskap perniagaan, malah mewujudkan imej lebih menarik. “Penggunaan wagon ini lebih kemas, mudah serta bersih. Ia sudah banyak digunakan di luar negara,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mudah Ditarik Ke Mana Saja Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top