My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 22 July 2016

    Bezza Bakal Jadi Pilihan Orang Ramai



    Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tidak akan menyemak kembali sasaran jualan keseluruhan bagi semua model keretanya meskipun dengan kehadiran model baru Perodua Bezza, sebaliknya kekal pada jumlah 216,000 unit bagi tahun ini. 

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, pengenalan model sedan pertama itu bukanlah faktor untuk sasaran jualan diubah kerana ia bergantung kepada pasaran semasa. Beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan mengekalkan paras sasaran yang sama berikutan ketidaktentuan industri yang sedikit perlahan tahun ini.

    “Bagaimanapun, kami melihat Perodua Bezza mempunyai potensi untuk menjadi penyumbang kepada jumlah jualan syarikat memandangkan dalam tempoh lima hari tempahan dibuka kami menerima tempahan 4,028 unit.

    “Malah, kami juga optimis ia akan menjadi pilihan rakyat Malaysia daripada kalangan pemilik kenderaan baru dan keluarga muda yang mahukan kereta yang mempunyai but luas bagi kegunaan harian,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Perodua Bezza di sini, semalam.

    Pelancaran model itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama, Pengerusi PERODUA Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden Daihatsu Motor Co Ltd, Masanori Mitsui.

    Daripada jumlah tempahan yang diterima, sebanyak 50 peratus adalah varian 1.3 Liter Advance, 1.3L Premium (35 peratus) manakala selebihnya 15 peratus menerusi varian 1.0 Liter membabitkan transmisi automatik dan manual. Kereta segmen A sedan itu mula direka pada 2014 membabitkan peruntukan pembangunan RM300 juta dengan 95 peratus komponen tempatan.

    Harga jualan model Bezza itu mengikut varian bermula dari RM37,300 hingga RM50,800 seunit. Mengulas mengenai kos pembangunan membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta, Aminar berkata, ia bukanlah satu jumlah yang boleh dianggap ‘murah’ sebaliknya memberi keutamaan dan mengambil kira kepentingan pembeli.

    Beliau berkata, perkara terbabit turut mengambil perhatian dari segi kos pemilikan kenderaan serta perkhidmatan disediakan selepas jualan kepada pembeli. Malah, katanya, sebagai pengeluar kenderaan, PERODUA bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada rakan kerjasama strategik iaitu Daihatsu.

    Aminar berkata, Perodua Bezza akan memberi tumpuan kepada pasaran domestik terlebih dahulu memandangkan perancangan teliti perlu diambil kira sebelum keputusan mengeksport model sedan itu ke pasaran global.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bezza Bakal Jadi Pilihan Orang Ramai Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top