My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 29 July 2016

    Dua Geng Tumpas

    BARANG CURI: Zailanni (dua kiri) menunjukkan barang-barang hasil pecah rumah sekitar Bintulu yang dirampas pada sidang media semalam.

    Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu berjaya menumpaskan dua kumpulan curi kenderaan dan pecah rumah serta menemui semula barang-barang curi termasuk kereta dalam Ops Lejang dan Ops Pintu, minggu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata, kumpulan pertama dikenal pasti sebagai ‘Geng Johnny’ dan dua ahlinya dicekup bersama sebuah kereta curi jenis Proton Wira dengan seorang lagi ahli masih diburu.

    “Hasil penangkapan dua penjenayah tersebut, kami percaya kumpulan itu terlibat dalam kes curi kenderaan membabitkan pacuan empat roda jenis Hilux dan kereta Proton Wira. “Kumpulan penjenayah terbabit akan diambil tindakan di mahkamah atau di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

    Zailanni berkata, kumpulan kedua dikenal pasti sebagai ‘Geng Patrick Rio’ dianggotai lima ahli dengan empat daripadanya berjaya diberkas dan seorang lagi masih diburu.

    “Patrick Rio sebagai ketua kumpulan yang diberkas dikesan positif dadah, mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah diambil tindakan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan serta pernah dipenjara selama dua tahun,” jelasnya.

    Dengan penangkapan terbaharu itu, katanya, polis berjaya menyelesaikan 23 kes merangkumi enam kes pecah kereta, 14 kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tahun ini di sekitar Bintulu.

    Pada 18 Julai lalu, katanya, anggota JSJ memberkas seorang lelaki yang dikesan positif dadah menggunakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang oleh pemiliknya sehari sebelumnya. Berikutan itu, tambahnya, tangkapan susulan dibuat ke atas seorang lelaki yang dipercayai menunggang motosikal curi oleh pasukan Task Force dan sudah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan serta dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Zailanni berkata sebanyak 328 kes dicatatkan dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding 509 kes dalam tempoh sama tahun lepas, iaitu penurunan sebanyak 181 kes atau 35 peratus. Ia membabitkan kes pecah rumah sebanyak 76 kes (2016) menurun sebanyak 39 kes berbanding 115 kes tahun lalu.

    Kes curi kereta direkodkan pula 84 kes berbanding 138 kes (2015), menurun sebanyak 54 kes atau 39 peratus, curi motosikal 90 kes (2016) berbanding 149 kes (2015), menurun sebanyak 59 kes atau 39 peratus. Justeru, Zailanni berkata pihaknya akan meneruskan usaha membanteras kegiatan jenayah di sini.

    “Orang ramai diingat agar tidak membeli barang dijual murah tanpa mengetahui asal-usulnya atau tanpa dokumen kerana jika ditangkap atas kesalahan memiliki barang curi boleh dipenjara enam bulan atau tidak melebihi lima tahun,” jelasnya.

    Katanya, kesalahan melupus, menyembunyi, memindah dan menyimpan barang curi boleh dikenakan penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. Beliau turut menasihati pemilik motosikal agar tidak cuai dengan meninggalkan kunci motosikal di pencucuh enjin sehingga memberi peluang kepada penjenayah mencurinya.

    “Masyarakat harus peka dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka dengan menyalurkan maklumat jenayah termasuk berkaitan kes dadah dan sebagainya kepada polis supaya kes tersebut dapat ditangani segera,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dua Geng Tumpas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top