My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 29 July 2016

    MH370 Di Utara Kawasan Pencarian



    Sekumpulan penyelidik mencadangkan supaya operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 2014 diperluaskan ke kawasan 500 kilometer (km) ke utara di Lautan Hindi. 

    Sekumpulan saintis Itali yang menggunakan teknologi komputer sedang cuba menentukan kemungkinan lokasi sebenar bangkai pesawat berkenaan berdasarkan data terkini keadaan arus lautan dan angin sejak dua tahun lalu.

    Andaian tersebut juga berdasarkan maklumat lokasi penemuan lima keping serpihan yang telah disahkan setakat ini iaitu dua di Mozambique dan setiap satu di Reunion, Afrika Selatan dan Mauritius.

    “Salah satu daripada penemuan paling penting ialah semua serpihan yang telah ditemui setakat ini memang serasi dengan kawasan di mana pihak berkuasa sedang melakukan pencarian,” kata Ketua Penyelidik, Eric Jansen daripada Pusat Euro-Mediterranean mengenai Perubahan Iklim di Itali kepada AFP.

    “Kemungkinan kawasan pesawat itu terhempas yang kami temui dalam program stimulasi, bertindih dengan kawasan pencarian rasmi. Tetapi kawasan itu juga terbentang 500km ke utara. Jika tiada apa yang ditemui di kawasan pencarian ketika ini, mungkin kita boleh melanjutkan pencarian di kawasan ber­kenaan,” katanya.

    Minggu lalu, Malaysia, Australia dan China berkata, harapan untuk mencari pesawat malang tersebut semakin pudar dan misi pencarian itu akan digantung jika tiada apa yang ditemui di zon carian semasa. Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

    Kejadian itu kekal menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Operasi mencari diketuai Australia telah mengimbas dasar laut di kawasan 120,000 kilometer persegi iaitu hampir menyamai saiz negara Greece.

    "Saya tidak mengharapkan bahawa pihak berkuasa benar-benar akan menukar pendapat mereka berdasarkan data baharu ini. Proses pencarian menelan belanja yang sangat mahal dan telah dilakukan selama dua tahun. Sudah tentu melibatkan soal wang,” kata Jansen.

    Dalam pada itu, Jansen menggambarkan kehilangan pesawat MH370 sebagai sesuatu yang pelik. “Adalah penting untuk memahami apa yang berlaku, bukan hanya buat mereka yang terlibat secara langsung, tetapi juga untuk keselamatan penerbangan secara umum,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Geosains Eropah dan disiarkan di dalam jurnal Natural Hazards & Earth System Science.

    “Kami harap dapat menyumbang dalam pencarian ini walaupun jika kajian kami hanyalah sebahagian daripada sebuah teka-teki yang sangat rumit,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: MH370 Di Utara Kawasan Pencarian Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top