Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran membina sebanyak 22,000 rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion di bawah program MyAngkasa-Home dalam tempoh empat tahun akan datang.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya sedang membina 12,000 unit rumah mampu milik membabitkan beberapa kawasan seperti di Johor Bahru, Sabah, Klebang dan Alor Gajah, Melaka serta lain-lain membabitkan GDV berjumlah RM27 juta.
“Kami optimis mampu mencapai sasaran ini berdasarkan perkembangan semasa sekali gus membantu sektor koperasi mencapai sasaran pendapatan kasar sebanyak RM50 bilion menjelang 2020,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Panca Minda dan MyAngkasa Bina serta Koperasi Usahasama Kuala Selangor, di sini.
MyAngkasa-Home adalah program yang membolehkan seluruh ahli koperasi memiliki kediaman sendiri melalui pembinaan rumah mampu milik pada harga lebih berpatutan yang dijalankan secara kerjasama antara koperasi, agensi kerajaan dan pihak swasta.
Program itu juga akan memberi kemudahan pembiayaan pinjaman perumahan kepada golongan muda dan belia yang bekerja dan mahu memiliki rumah berikutan kebanyakan mereka bekerja sendiri dan terpaksa berdepan pelbagai syarat ketat untuk mendapatkan pinjaman perumahan jika hendak memohon pinjaman di bank komersial.
Beliau berkata, Angkasa melalui anak syarikat iaitu MyAngkasa Bina Sdn Bhd (MyAngkasa Bina) turut menyasarkan pendapatan sebanyak RM18 bilion daripada sektor pembinaan dan perumahan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Selain itu, ia akan menjalinkan kerjasama dengan koperasi luar negara seperti Pertubuhan Koperasi Se-Asean (ACO) dan Perikatan Koperasi Kebangsaan (ICA) untuk mempelopori bidang pembinaan dan hartanah ke luar negara bermula pada tahun depan.
“Industri pembinaan dan hartanah ini bukan sahaja menjana pendapatan kepada sektor koperasi malah menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada ahli serta koperasi yang terbabit secara langsung dalam industri itu,” katanya.
Sehingga kini, Angkasa melalui koperasi di bawah naungannya memiliki tanah seluas 2,000 hektar di mana ia akan digunakan sebagai bank tanah bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik di seluruh negara.
0 comments:
Post a Comment