Filem aksi komedi Skiptrace arahan Renny Harlin bakal menggegarkan pawagam seluruh negara esok. Menggandingkan bintang aksi Jackie Chan dan Johnny Knoxville yang popular menerusi filem The Last Stand dan Men In Black 2, Skiptrace berbeza daripada karya aksi lain.
Ia mengisahkan Detektif Bennie Chan lakonan Jackie Chan yang memburu ketua penjahat dikenali sebagai Victor Wong. Siasatan dilakukan berdekad lalu sehingga dia bersara. Namun, apabila anak saudaranya, Samantha (Fan Bing Bing) terperangkap dalam sindiket jenayah Victor, Bennie kembali beraksi dengan mendapatkan bantuan kaki judi berbangsa Amerika, Connor Watts (Johnny Knoxville).
Bermula penyiasatan dan penerokaan Bennie untuk membawa Connor pulang ke Hong Kong dan bergandingan menumpaskan Victor. Tidak hanya di Hong Kong, mereka terpaksa meredah pergunungan Mongolia sehingga padang pasir Gobi untuk mencari Victor dan menyelamatkan Samantha.
Bagi Jackie, watak Bennie punya kekuatannya tersendiri dan dia bekerja keras menghidupkannya. “Saya menantikan filem ini direalisasikan hampir tiga dekad lalu. Menerusi watak pesara polis saya berpeluang menyajikan sesuatu yang berbeza berbanding apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini.
“Sebagai Bennie, saya tidak boleh terlalu banyak melakukan aksi lasak kerana dia pesara. Namun, pada masa sama saya tidak boleh terlalu kaku,” katanya.
Jackie yang sudah mencanai bakat selama 53 tahun mengakui masih selesa menjayakan genre aksi komedi. “Saya meminati filem aksi, tetapi tiada unsur ganas. Kebanyakan filem yang saya hasilkan dan jayakan adalah aksi komedi.
“Saya mahu penonton berseronok dan tidak terlalu tertekan menyaksikan lakonan saya. Ia juga salah satu cara untuk buat penonton menghargai filem aksi,” katanya.
Sementara itu, Renny berkata, sebagai pencinta filem aksi, dia melihat Skiptrace sebagai harta karun yang sudah lama dicarinya. “Sebagai pengarah, saya sudah mencuba pelbagai genre. Namun, genre aksi jadi keutamaan dan Skriptrace adalah harta yang cukup bernilai di mata saya.
Filem ini memaparkan jalan cerita menarik, aksi mendebarkan dan pelbagai karakter hebat. Pendek kata, Skriptrace mengembalikan nostalgia filem aksi klasik namun membawa penonton merasai pengalaman baru yang belum pernah ditonton,” katanya.
Tambah Renny, pemilihan dua teraju utama adalah keputusan tepat apabila berjaya menghidupkan plot dalam filem itu. “Jackie Chan adalah ikon kegemaran saya sejak bertahun lalu. Dengan bakatnya yang tidak dapat dipertikai serta personaliti yang baik, saya bertuah kerana berjaya bekerja dengan bintang sepertinya.
“Knoxville pula terkenal dengan karakter kelakar dan meraih populariti menerusi program Jackass TV dan banyak filem lakonannya. Gabungan dua bintang ini memantapkan Skiptrace,” katanya. Selain Jackie Chan, Johnny Knoxville dan Fan Bing Bing, Skiptrace turut dibintangi nama besar lain iaitu Eric Tsang, Eve Torres, Winston Chao, Shi Shi dan Yeon Jung-Hoon.
0 comments:
Post a Comment