Pada kebiasaannya, perusahaan kecil-kecilan amat sukar mendapat tempat dimana-mana pusat membeli belah di ibu negara. Kebiasaannya, mereka akan membuka gerai jualan kecil-kecilan di tepi-tepi jalan dimana kebanyakan mereka mengusahakan gerai keropok lekor, goreng pisang dan macam-macam lagi.
Bagi komuniti penduduk Borneo di Semenanjung, kebiasaannya mereka lebih menumpukan kerja dibidang industri dan sukar untuk mereka memulakan perniagaan walaupun ada minat dikalangan mereka. Namun begitu, terdapat kesedaran beberapa pihak untuk menghimpunkan para pengusaha Borneo disatu tempat.
Masihkah anda ingat Galaxy Ampang Mall (GAM) yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur? Mungkin ada yang mengatakan, pusat membeli belah ini boleh dikatakan sudah ditinggalkan dan tidak lagi dikunjungi oleh mana-mana pelanggan. Apa yang tinggal didalam GAM ini hanyalah deretan kedai saloon dan Pasaraya UO.
Namun hari ini, GAM kembali bernyawa apabila pihak pengurusan telah mengusahakan satu slot yang digelarkan sebagai Borneo Street. Kewujudan Borneo Street di sini dikatakan sebagai pemangkin kepada pengusaha kecil-kecilan terutamanya dari Borneo untuk memulakan perniagaan mereka disini.
Menarik untuk disaksikan disini, bagaimana pengusaha gerai kecil-kecilan anak-anak Borneo berniaga semua hasil yang dibawa khas dari Borneo termasuk resepi asli makanan Borneo. Jika sebelum ini, sukar untuk kita mencari makanan seperti mee kolok, mee sapi, ayam pansuh dan lain-lain lagi, anda boleh temuinya di Borneo Street Galaxy Ampang Mall.
Begitu juga bagi mereka yang menggemari hasil kraf daripada Sarawak termasuk pakaian tradisional masyarakat Iban, Bidayuh termasuk dari Sabah, disini dihimpunkan semua hasil kraf dan pakaian pada harga yang berpatutan.
Menariknya, pihak pengurusan Galaxy Ampang Mall juga turut membuka ruang buat peniaga dari kaum India dimana di lokasi yang sama, semua kaum dari Borneo dan kaum India membuka gerai mereka dilorong yang sama.
Cukup menarik untuk disaksikan bagaimana pihak pengurusan GAM mampu menghimpunkan para peniaga kecil-kecilan di satu lorong. Usaha pihak pengurusan GAM ini cukup wajar dipuji kerana ianya membolehkan mereka yang ingin berniaga memperolehi tapak perniagaan mereka sendiri dan sekaligus menggalakkan munculnya lebih ramai peniaga.
Buat sementara ini, Borneo dan India Street di Galaxy Ampang Mall dibuka pada setiap hari Sabtu dan Ahad setiap minggu dari jam 11 pagi hingga 10 malam. Orang ramai dijemput hadir untuk merasai sendiri kemeriahan dan keunikan yang disediakan di Borneo dan India Street yang sukar ditemui di tempat lain.
0 comments:
Post a Comment