BERJAYA membina peluang bekerjasama dengan seorang bintang terkenal dunia merupakan impian setiap insan yang bergelar anak seni. Apatah lagi, jika bintang terkenal itu mampu memberi impak menakjubkan dalam setiap naskhah yang disertainya.
Berkesempatan bertemu tiga aktor hebat tanah air, Datuk Rosyam Nor, Datuk Jalaluddin Hassan dan Norman Hakim pada sesi fotografi baru-baru ini, memberi peluang untuk mereka merungkai dengan terperinci pengalaman dan perasaan mereka yang terpilih menyertai projek besar itu.
Rosyam dan Norman terlibat secara langsung dengan filem fenomena dari India Kabali, sekali gus berkongsi skrin dengan aktor tersohor mereka, Rajanikanth, manakala khidmat Jalaluddin pula digunakan untuk alih bahasa Melayu filem tersebut di Malaysia. Menurut Jalaluddin, beliau berbesar hati apabila dipilih sebagai salah seorang pelakon yang terlibat dalam sesi alih suara filem aksi tersebut.
“Selama lebih 20 tahun dalam industri, inilah kali pertama saya melakukan alih suara filem yang dilakonkan oleh orang lain. Sudahlah begitu, ia filem yang dibintangi oleh bintang terkenal di India, perasaan teruja bukan kepalang.
“Namun, pada masa yang sama, saya sangat berbesar hati kerana menjadi salah seorang pelakon yang dipilih menjayakan projek ini. Tidak sabar menantikan pandangan penonton tentang lakonan suara saya dalam filem itu nanti,” ujarnya teruja.
Dalam Kabali, aktor senior berusia 62 itu menggalas tanggungjawab mengalih bahasa dua karakter iaitu penjahat dan ahli politik. Walaupun cukup berpengalaman dalam banyak filem, drama dan bidang pengacaraan, namun pelakon filem 1957 Hati Malaya itu mengakui beliau tetap mengalami perasaan gementar dan berdebar.
“Ironinya, pengalaman selama seminggu berada di Chennai, India untuk proses alih suara memberi pelbagai definisi kepada saya. Pada waktu itu, fikiran saya berkecamuk dan hati tidak tenteram kerana memikirkan tanggungjawab besar yang perlu digalas. Apa yang ada dalam kepala saya adalah perasaan takut jika suara saya akan mencacatkan lakonan asal filem sehinggakan timbul perasaan putus asa untuk meneruskan kerja itu,” ceritanya.
Bagi Rosyam pula, biarpun hanya menggalas watak kecil namun beliau tetap berbangga kerana diberi peluang berlakon di samping bintang terkenal seperti Rajinikanth. “Tidak kira watak kecil atau besar, tetapi apabila diberi peluang berlakon di samping beliau, itu sudah satu penghormatan buat saya dan karier.
Lebih membanggakan, beliau mempunyai satu babak bertarung dengan Rajanikanth yang disifatkannya sebagai sangat merendah diri. “Sebagai anak Malaysia, saya bangga kerana turut terlibat dalam filem besar seperti ini,” ulasnya yang memegang watak orang kanan seorang ketua gangster.
Sementara itu, menurut Norman pula, dia menganggap peluang bekerja dengan produksi luar merupakan pengalaman paling berharga yang dikecapinya setakat ini. “Pada mulanya, saya memang tidak percaya kerana terpilih lebih-lebih lagi pihak produksi di sana langsung tidak memberi maklumat lanjut mengenai watak dan babak yang melibatkan saya.
“Tetapi, apabila sampai di sana, saya sangat teruja kerana ruang dan jumlah tenaga kerja mereka sangat besar. Dari situ, ia memberi pengalaman berharga buat saya untuk melihat cara kerja mereka selain peluang terbaik untuk memperkenalkan profil diri kepada orang luar,” tuturnya yang berada di India selama tiga minggu untuk penggambaran.
Kabali telah ditayangkan serentak seluruh dunia bermula Jumaat, 22 Julai, manakala versi bahasa Melayu pula akan ditayangkan bermula 29 Julai ini.
0 comments:
Post a Comment