Selepas kapten Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd Adzak, kini giliran pemain pertahanan S Kunanlan pula membuat keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad Harimau Malaysia. Kunanlan, 29, mengikut jejak langkah rakan sepasukannya di Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu menerusi satu pengumuman di laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.
Pemain kelahiran Semenyih, Selangor itu yang memiliki 70 cap antarabangsa membuat penampilan terakhir bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika seri 1-1 dengan Fiji dalam aksi persahabatan antarabangsa Jelajah Oceania 2016 pada 27 Jun lalu.
Kunanlan, pemain skuad juara Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 tidak menyatakan sebarang alasan keputusannya untuk bersara namun melahirkan rasa terima kasih ke atas sokongan yang diberikan selama menyarung jersi kebangsaan. Kunanlan pemain ketiga daripada Johor DT yang membuat keputusan bersara di pentas antarabangsa selepas Safiq dan Aidil membuat kejutan, kelmarin.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee nyata terkejut dengan pengumuman yang dibuat tiga pemain itu, namun beliau percaya Kunanlan, Aidil dan Safiq memiliki alasan tersendiri mengapa mereka membuat keputusan tersebut.
“Sudah tentu saya sangat terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh tiga pemain tersebut pada lewat petang semalam (kelmarin). Bagaimanapun, saya percaya mereka sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum keputusan dibuat.
“Tidak dinafikan, ia merupakan satu kerugian besar buat skuad negara, namun sekiranya mereka benar-benar serius dengan keputusan ini, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh mereka kerana mereka mungkin sudah berbincang dengan keluarga masing-masing,” kata Kim Swee semalam.
Justeru, pengendali kelahiran Melaka itu memiliki tugas baharu bagi mencari pemain yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tiga pemain tersebut memandangkan saingan Liga Malaysia kembali bersambung semalam.
“Mungkin ia merupakan keputusan peribadi mereka dan kita perlu menghormatinya. Oleh itu, kita harus mula memikirkan mengenai siapakah pemain yang mampu menggantikan mereka. Jadi, kita akan membuat penilaian pada baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia.
“Apa yang penting sekarang ialah kita perlu mencari pengganti yang sesuai untuk disenaraikan dalam skuad negara, sekali gus membantu Harimau Malaysia dalam tugasan-tugasan antarabangsa pada masa akan datang,” tambahnya.
Sementara itu, Kim Swee menegaskan, pintu skuad negara sentiasa terbuka untuk mereka sekiranya berhasrat kembali menyarung jersi kebangsaan, namun perlu menjalani penilaian semula berdasarkan prestasi semasa.
0 comments:
Post a Comment