• PANAS

    Tuesday, 8 August 2017

    Dalam Fasa Akhir



    Malaysia kini berada pada fasa akhir perbincangan dengan pengeluar kenderaan di negara ini untuk melaksanakan program B10 iaitu 10 peratus campuran palm methyl esters - pme dalam biodiesel bagi kenderaan diesel di negara ini daripada penggunaan B7 pada masa ini. 

    Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tarikh khusus bagi pelaksanaan program itu kerana ia perlu mengambil kira faktor keselamatan, keselesaan pengguna, isu jaminan serta struktur perbezaan harga pme dan diesel.

    Menurutnya, perkara utama yang perlu diberi fokus adalah berkaitan isu jaminan kenderaan di mana kebanyakan kenderaan ketika ini hanya menawarkan jaminan sehingga penggunaan biodiesel B7 saja.

    “Pada masa ini, terdapat halangan teknikal mengenai penggunaan B7 dan kami komited menangani isu ini sebelum melaksanakan program B10 dalam sektor kenderaan pengangkutan,” katanya pada Persidangan Biodiesel Sawit, di sini, semalam.

    Malaysia mula melaksanakan program biodiesel melalui pengenalan B5 pada 2011 sebelum meneruskan program B7 pada 2014 di mana ia menyaksikan peningkatan harga minyak sawit mentah meningkat daripada 250,000 tan setahun (B5) kepada 350,000 tan setahun (B7).

    Beliau berkata, pihaknya aktif mengadakan perjumpaan dengan semua pihak terbabit seperti pemain industri, PKS, pengeluar kenderaan dan stesen minyak dalam usaha mencapai matlamat untuk meningkatkan lagi kandungan biodiesel kepada B10 pada masa depan.

    “Kami sudah melakukan beberapa siri ujian yang membuktikan B7 tidak menjejaskan prestasi enjin dan selepas ini, kami akan terus mengadakan banyak lagi siri ujian bagi menunjukkan keberkesanan biodiesel B7 dan B10 negara,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Mah berkata, Malaysia akan menghantar enam pembuat dasar ke Eropah pada September ini untuk meraih sokongan Parlimen Eropah (EU) terhadap penggunaan minyak sawit di Eropah.

    Menurutnya, langkah itu susulan laporan media yang menyatakan bahawa Parlimen Eropah hanya membenarkan import kelapa sawit yang melaksanakan amalan kelestarian ke Eropah selepas 2020 melalui satu resolusi yang masih belum dimuktamadkan pada April lalu.

    “Jika EU meneruskan larangan itu, maka ia boleh menyumbang kepada penurunan eksport minyak sawit negara pada masa depan di mana kebanyakan import minyak sawit EU digunakan bagi biodiesel dan tenaga diperbaharui,” katanya.

    Sebelum ini, Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez menghantar surat kepada Mah yang menyatakan Suruhanjaya Eropah yang terbabit dalam proses pembuatan undang-undang bersetuju bahawa beberapa resolusi pada produk minyak sawit berdasarkan fakta tidak tepat. 

    Eksport minyak kelapa sawit dan produk sawit Malaysia ke EU bernilai RM10.23 bilion pada tahun lalu di mana ia menyumbang 15 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dalam Fasa Akhir Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top