• PANAS

    Tuesday, 8 August 2017

    Buat Wasiat Elak Perebutan Harta Pusaka




    BERITA berkaitan kes pergaduhan dalam keluarga disebabkan oleh perebutan harta sering dipaparkan dalam media massa sama ada elektronik atau cetak. Masalah seperti itu boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi retak seribu. 

    Malah, carian di Google juga menunjukkan, terdapat lebih 400,000 paparan berkisar kepada perebutan harta yang berlaku dalam negara. Ini menunjukkan bahawa isu pengurusan dan pembahagian harta menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam di Malaysia.

    Biarpun tahap kesedaran masyarakat terhadap permasalahan ini semakin meningkat, kebanyakan konflik yang timbul berpunca daripada isu pembahagian harta pusaka tidak selesai melibatkan orang tua yang telah meninggal dunia.

    Seorang kerani akaun di sebuah hospital swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Nabila, 25, memberitahu, keluarga ibunya juga mengalami konflik tidak berkesudahan yang melibatkan harta pusaka arwah datuknya.

    “Masalah pembahagian harta pusaka arwah datuk masih berlanjutan sehingga ke hari ini walaupun arwah telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu. Ini kerana arwah datuk mempunyai dua orang isteri dan lebih 10 orang anak, namun tidak meletakkan pembahagian harta yang jelas sewaktu hayatnya,” ujarnya sewaktu dihubungi baru-baru ini.

    Isu pertelingkahan dalam kalangan ahli keluarga disebabkan oleh pembahagian harta bukan sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat hari ini. Beberapa bulan lalu, sebuah akhbar tempatan pernah melaporkan satu pergaduhan berlaku melibatkan penggunaan senjata tajam iaitu parang di Negeri Sembilan antara pasangan suami isteri separuh abad dan bapa saudaranya.

    Mereka dikatakan berebut sebuah peti ais dan sebidang tanah peninggalan arwah nenek si isteri terbabit. Lebih mengecewakan, arwah baru sahaja tiga minggu meninggal dunia, namun pewaris sudah berantakan disebabkan oleh harta, sekali gus mempertaruhkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin.

    Menurut Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, masalah perebutan harta yang berlaku dalam kalangan umat Islam boleh dielakkan jika kita bijak menguruskan harta menerusi kaedah yang disarankan syarak.

    Ilmu muamalat

    “Sikap tidak ambil endah umat Islam dalam pengurusan harta ini akan merugikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Masalah ini dapat diatasi dengan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ilmu muamalat dan mempraktikkan apa yang dipelajari untuk kebahagiaan dunia akhirat.

    “Apabila harta diurus dengan baik, hubungan antara ahli keluarga juga akan bertambah erat dengan adanya kontrak-kontrak muamalat seperti sedekah, hibah, wakaf, wasiat dan faraid,” ujarnya.

    Wasiat menurut mazhab Shafie adalah pemberian atau sumbangan harta oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada disebut perkataan wasiat atau tidak. Jelas Nuradli Ridzwan Shah, anggota masyarakat disarankan membuat wasiat bertulis kerana ia lebih praktikal untuk membuktikan kewujudan wasiat.

    Secara amnya, wasiat boleh dibuat kepada sesiapa sahaja termasuk bukan Muslim, namun pecahannya tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta pusaka. Wasiat itu akan disimpan oleh pihak ejen wasiat bertauliah dalam pengurusan wasiat dan akan dibacakan kepada waris selepas seseorang pewasiat meninggal dunia.

    Peranan ejen wasiat bertauliah ialah sebagai pemudah cara untuk memudahkan urusan pembahagian harta kepada waris-waris.

    “Masyarakat boleh berjumpa dengan imam-imam eksekutif yang telah ditauliah sebagai ejen wasiat. Imam-imam eksekutif bertauliah ini telah dilengkapkan dengan ilmu-ilmu berkaitan wasiat, prosedur pendaftaran wasiat, enakmen-enakmen berkaitan wasiat dan proses pelaksanaan wasiat.

    “Selain itu, pihak pengurusan masjid setempat juga perlu dilengkapkan dengan ilmu-ilmu berkaitan faraid, wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya agar masyarakat dapat merujuk secara terus kepada mereka,” saran Nuradli Ridzwan Shah.

    Tambah beliau, terdapat empat golongan yang digalakkan untuk membuat wasiat iaitu individu yang tidak mempunyai anak, individu yang mempunyai anak angkat atau anak tiri, mereka yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun untuk melantik penjaga bagi anak itu dan mereka yang ingin membantu ahli keluarga yang tidak layak mendapat faraid.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Buat Wasiat Elak Perebutan Harta Pusaka Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top