• PANAS

    Thursday, 10 August 2017

    ECRL, Lembaran Baru Pengangkutan Rel Penghubung Barat Dan Timur


    Umum mengetahui, untuk menuju ke Pantai Timur dengan menggunakan jalan darat seperti memandu sendiri atau menaiki kenderaan awam seperti bas ekspress, masa perjalanan pasti akan mencecah antara 6 hingga 8 jam. Lebih teruk lagi, sekiranya tiba musim perayaan, masa perjalanan akan bertambah antara 3 hingga 5 jam bergantung kepada destinasi yang dituju.

    Menyentuh dari segi ekonomi pula, pembangunan ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung agak tidak begitu seimbang.Kita dapat lihat bagaimana pesatnya pembangunan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung dan mengunjur ke Selatan namun pemandangan berkenaan tidak dapat dilihat dengan ketara di sebelah Pantai Timur.

    Mengambil kira akan hal ini, ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mahu melihat jarak, masa dan pembangunan seimbang antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung telah melahirkan pembangunan East Coast Rail Link yang menjadi "baby" terbaru Prasarana Malaysia dan tentu sekali Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD).

    Semasa melancarkan projek mega bernilai RM 55 bilion ini, Datuk Seri Mohd Najib menyifatkan pembinaan ECRL ini sebagai pencetus perubahan pembangunan di Malaysia kerana ianya memendekkan masa perjalanan darat ke Pahang, Terengganu dan Kelantan hampir sekali ganda.

    Justeru, kerajaan akan berusaha menyiapkan projek ini yang memakan jarak 688 kilometer lebih awal berbanding jadual asal pada tahun 2024. Ini akan memberi manfaat kepada lebih 4.4 juta penduduk di negeri-negeri Pantai Timur dengan mendapat kemudahan pengangkutan awam moden lagi komprehensif.

    Untuk rekod, projek ini dijangka akan menelan belanja sebanyak RM 55 bilion di mana projek ini adalah kerjasama strategik perindustrian antara Malaysia dan China. Projek yang mempunyai jarak sepanjang 688 kilometer ini akan mempunyai 22 stesen secara keseluruhan termasuk menghubungkan Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Kuantan dan seterusnya akan tamat di Wakaf Baru di Kelantan.

    Projek ECRL ini bakal mempunyai 19 buah terowong yang akan memakan jarak sejauh 49 kilometer. Daripada 19 terowong ini, terowong yang menghubungkan Bentong di Pahang ke Gombak di Selangor adalah yang terpanjang di Malaysia yang akan memakan jarak sejauh 17.8 kilometer.

    Ini adalah usaha terbaru kerajaan menerusi SPAD yang menguruskan pengangkutan awam darat di Malaysia bagi memberikan mutu perkhidmatan pengangkutan awam ketahap yang jauh lebih baik dan sekaligus mampu memangkin pembangunan ekonomi secara menyeluruh di seluruh Semenanjung Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: ECRL, Lembaran Baru Pengangkutan Rel Penghubung Barat Dan Timur Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top