My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 1 August 2017

    Hobi Kreatif Bawa Ke Tokyo



    Tidak sekadar mengenakan solekan tebal atau mengayakan kostum memaparkan karakter animasi semata-mata, peserta World Cosplay Summit Malaysia (WCSMY) juga kreatif dalam persembahan mereka. Ada antara mereka mengusung prop jauh lebih besar daripada saiz mereka bagi menghasilkan suasana bersesuaian dengan jalan cerita. 

    Secara langsung menampakkan mereka ini benar-benar giat terhadap hobi berkenaan. Meskipun persembahan berakhir, rata-rata peserta tidak segan beraksi malah ‘sporting’ melayan pengunjung menyaksikan WSCMY.

    Paling mencuri tumpuan dalam pertandingan terbabit ialah aksi pasangan pasukan Manbo*bs yang tampil dengan persembahan mantap berlandaskan karakter permainan video popular Jepun iaitu Castlevania: Mirror of Fate.

    Ahli Manbo*bs, Fara Nik yang membawa karakter Simon Belmont, menyifatkan WCSMY antara acara dinantikan buat peminat cosplay kerana peluang untuk menyertai kejohanan lebih besar iaitu WCS yang dijadual berlangsung di Jepun, Oktober nanti.

    “Tentu sasaran saya dalam WCSMY ialah tempat pertama kerana kami berpeluang menyertai WSC di Jepun yang lebih besar. Semestinya peluang menyertai perjumpaan cosplay peringkat dunia satu penghormatan buat peminat karakter Jepun seperti saya bersama penggaya cosplay dari serata dunia. 

    “Pada sudut lain, ia dilihat pencapaian tinggi sekali gus mendorong saya terbabit dalam hobi kreatif ini. Cosplay bukan hobi buang masa sebaliknya ia mengenai hasil kerja seni yang perlu ada peningkatan baik dari segi kostum dan solekan, malah persembahan.

    “Menerusi hobi ini banyak perkara saya pelajari, terutama menjahit, mewarna atau menyuai padan material agar bersesuaian dengan karakter ingin ditonjolkan,” katanya. Rakannya, Yuan Wong, pula menganggap persiapan dilakukan sejak awal tahun tidak sia-sia dengan kemenangan berkenaan. 

    “Bagi menghasilkan kustom hampir menyerupai karakter contohnya saya, Alucard tidak mudah. Apabila mengetahui mengenai pertandingan, saya melakukan persiapan awal termasuklah prop. Biasanya kami buat persiapan sedikit demi sedikit sehinggalah sebulan sebelum pertandingan fokus pada kemasan serta perincian tertentu.

    “Alat bantuan pula, biasanya sebulan sebelum pertandingan dihasilkan kerana jalan cerita perlu dicari. Peringkat seterusnya ialah latihan mengikut rakaman bunyi diperoleh daripada video animasi itu agar seiring dengan persembahan. Meskipun pertandingan ini renyah dari segi persiapan, saya dan Fara berasa seronok beraksi di pentas,” katanya.

    Bagi pasangan adik-beradik, Raziah Abd Rashid dan Khairunnisa, penyertaan dalam pertandingan tidak saja mendapat sokongan peminat malah keluarga. Malah, katanya Raziah, mereka dibantu ibu yang mempunyai kemahiran menjahit.

    “Saya minat sejak sekolah tetapi tiada duit lagi ketika itu. Jadi apabila sudah bekerja dan mempunyai pendapatan, saya mula membabitkan diri. Kalau dulu hasil kerja tangan kasar tetapi selepas menyertai pelbagai pertandingan, kualiti dalam menghasilkan kustom makin halus dan kemas.

    “Saya belajar daripada ibu yang memang mempunyai kemahiran menjahit. Dia kerap membantu malah sering datang memberi sokongan kepada saya serta adik-beradik untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengasas Cosplay Toshokan Malaysia, Kazuki Foo melihat penganjuran pertandingan sebegini membantu perkembangkan budaya Jepun terutama dalam kemahiran cosplay. “Menerusi WCSMY diharap lebih ramai akan memahami cosplay selain mencari artis berbakat serta berupaya memberi saingan sihat dalam pertandingan ini bakal berlangsung di Jepun.

    “Sebenarnya WCSMY menyediakan platform buat peminat tempatan untuk pergi jauh lagi menerusi acara peringkat dunia kelak di Tokyo, Jepun apabila mengumpul ratusan penggaya profesional dari serata dunia,” katanya.

    Selain Kazuki, upacara penyampaian hadiah turut disempurnakan Pengasas World Cosplay Summit, Tokumaru Oguri dan wakil pusat beli-belah MyTOWN, Anson Tan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Hobi Kreatif Bawa Ke Tokyo Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top