My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 4 August 2017

    Tajaan KL2017 Lebih RM100 Juta



    PENGANJURAN Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN­ kesembilan (KL2017) berjaya menarik penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta tempatan dan antarabangsa untuk menjadi penaja, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. 

    “Sehingga kini sebanyak 40 syarikat telah bekerjasama menaja temasya kali ini dengan jumlah penajaan melebihi RM100 juta,” katanya.

    Berbaki 14 hari sebelum temasya sukan itu berlangsung secara rasmi, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) semalam menerima penajaan terbaharu daripada syarikat pembekal elektrik bersepadu terbesar negara, Tenaga Nasio­nal Berhad (TNB).

    Penglibatan TNB dalam KL2017 adalah sebagai penaja emas dan dikenali sebagai Rakan Rasmi Tenaga dengan jumlah sumbangan antara RM3 juta dan RM7.5 juta merangkumi wang tunai dan barangan berbentuk set penjana yang akan dibekalkan untuk kegunaan ketika temasya berlangsung. 

    Penyerahan penajaan TNB disampaikan oleh Ketua Pegawai korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong. Kerjasama berkenaan adalah kolaborasi pertama TNB dengan Kementerian Belia dan Sukan serta dalam sejarah penganjuran Sukan SEA.

    “Kepercayaan TNB dan rakan-rakan penaja yang lain menjadi petanda bahawa temasya sukan ini telah berjaya membangkitkan minat banyak syarikat untuk menyokong usaha berkaitan sukan. 

    “Penajaan bukan sahaja bersifat CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi sukan telah menjadi platform pemasaran yang diiktiraf dan semakin popular untuk memasarkan identiti korporat masing-masing,” kata­nya.

    Khairy sebelum ini menyasarkan untuk memperoleh tajaan sebanyak RM80 juta daripada sektor korporat bagi menjayakan KL2017. Terdahulu, Roslan dalam ucapannya berkata, TNB telah menilai dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik di semua venue utama sejak setahun lalu.

    “Sepanjang berlangsung KL2017, kami menubuhkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam. Pasukan teknikal akan turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seperti Stadium Nasional, Bukit Jalil, kawasan sekitar KL Sports City, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, MITEC (Pusat Pameran dan Perdaga­ngan Antarabangsa Malaysia) dan Putrajaya serta beberapa venue di Negeri Sembilan, Kedah serta Terengganu,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tajaan KL2017 Lebih RM100 Juta Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top