My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 10 August 2017

    Trauma Peristiwa Hitam



    Agak sukar untuk penulis mendapatkan ceritanya kerana dia terlalu berahsia. Malah kisah yang disimpan lebih 30 tahun lalu tiada sesiapa yang tahu melainkan rakan baik dan suami. 

    Walaupun hampir mampu melupakannya, setiap kali membaca akhbar dan menonton televisyen mengenai kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol bapa, datuk, bapa saudara atau sesiapa saja darah daging sendiri, air matanya mengalir laju.

    Dia cepat terasa, mudah tersentuh, sedih, geram dan marah kerana mengandaikan apa yang dialami mereka sama seperti kisahnya ketika berusia tujuh tahun. Ketika itu dia sangat naif, langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai seks. Ibu yang hanya bekerja membantu ayah di ladang juga tidak pernah bersikap terbuka mengenainya.

    “Perkataan yang berkaitan mengenai seks, haid, alat jantina lelaki atau wanita dianggap sesuatu tidak seharusnya disebut. Ia sangat memalukan. Ibu juga langsung tidak pernah bercerita apa perlu dilakukan apabila datang haid dan membiarkan saya memahami sendiri,” kata Hidayah, 37, (bukan nama sebenar).

    Oleh kerana mempunyai lima abang membuatkan Hidayah sangat rapat dengan mereka. Sebagai kanak-kanak tentunya permainan kampung seperti guli, baling selipar atau bermain masak-masak antara aktiviti pada hujung minggu. Keseronokan dimanja dan disayangi oleh abang-abangnya membuatkan Hidayah rasa seronok.

    Malah tanpa segan silu mereka memeluk dan ada kala mencium Hidayah yang diibaratkan kanak-kanak ini adalah perlakuan biasa antara abang dan adik. Ibu juga tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah pada suatu hari abang sulung berusia 20 tahun mengajak Hidayah ke biliknya.

    “Ketika itu ibu dan ayah ke ladang manakala abang yang lain ke sekolah. Saya tidak mengesyaki apa-apa dan mengikut saja arahan abang. Dia meminta saya membuka baju dan seluar. Arahan itu juga dituruti sehinggalah berlaku perkara yang tidak sepatutnya. Ya, saya dirogol oleh abang tanpa saya mengetahui ia adalah rogol dan salah,” katanya sambil menyeka air mata yang mulai membasahi pipi.
    Sambungnya lagi, walaupun hanya sekali dan tidak lagi berlaku selepas itu, namun detik hitam itu ibarat video bergerak yang sentiasa menghantui fikiran. Dia langsung tidak memberitahu sesiapa termasuk ibunya. Hubungan dengan abangnya juga seperti biasa namun Hidayah sering melarikan diri apabila bersua muka dengan abangnya. Mungkin disebabkan malu dan takut.

    Lama-kelamaan apabila usia meningkat dan membaca berkaitan rogol barulah Hidayah sedar apa yang dilakukan abangnya itu salah. Dia juga mulai faham istilah rogol dan lebih memalukan apabila dilakukan abang sendiri.

    Kesal dengan apa yang berlaku membuatkan Hidayah berasa rendah diri. “Saya rasa diri sangat kotor dan jijik. Maruah diri sudah tiada. Apabila berhadapan lelaki saya rasakan seolah-olah mereka mengetahui kisah hitam saya. Keadaan ini terbawa-bawa sehingga saya melanjutkan pengajian ke universiti.

    “Saya tidak mahu bergaul dengan lelaki dan mengelak mempunyai teman lelaki. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila usia semakin meningkat dan saya berasa sangat tertekan kerana keluarga sering mendesak berkahwin tetapi naluri untuk bersuami langsung tiada,” katanya yang mengakui menangis setiap malam kerana sering terkenangkan kisah hitamnya itu.

    Namun sedikit demi sedikit Hidayah dapat melupakan peristiwa itu selepas bertemu lelaki yang mahu memperisterikannya. Cuba bersikap jujur, Hidayah menceritakan apa yang pernah berlaku kepada dirinya dan lelaki itu dapat menerimanya dengan ikhlas.

    “Alhamdulillah selepas berkahwin jiwa lebih tenteram. Saya mulai dapat melupakan peristiwa itu. Walaupun sering bertemu abang setiap kali pulang ke kampung, saya tidak pernah berdendam atau mendoakan yang tidak baik kepadanya. Biarlah apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan saya mendoakan agar keturunan saya terhindar daripada perkara buruk ini,” katanya.

    Trauma hingga dewasa

    Bagi yang pernah menjadi mangsa rogol saudara sendiri atau diistilahkan sebagai sumbang mahram pasti dapat merasai kesedihan yang dipanggil kesan sepanjang hayat. Ini kerana individu yang melakukannya adalah orang dipercayai seperti datuk, bapa, bapa saudara atau abang yang sepatutnya melindungi mangsa.

    Menjelaskan lebih lanjut mengenai kesan kejiwaan yang dialami mangsa, menurut Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Mastura Badzis, kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol ini akan mengalami trauma dan ketakutan sehingga dewasa.

    “Apa yang diingati mereka sebenarnya bukanlah kepada hubungan terlarang itu. Pada usia yang masih muda mereka langsung tidak mengetahui apa itu seks dan mengapa diperlakukan sebegitu.

    "Dalam konteks ini bagi mangsa siapa yang merogol tidak penting, mereka juga tidak faham dan biasanya tidak mahu ambil tahu, tetapi perlakuan, kekasaran, ugutan serta kesakitan itu yang utama menyebabkan ia diingati sehingga dewasa,” katanya.

    Jelasnya, dalam bidang kaunseling, bagi meredakan tekanan dan memahami apa yang dialami kanak-kanak ini bukanlah dengan cara bertanya kepada mereka. Mangsa bukanlah testimoni terbaik yang akan bercerita dengan lengkap disertakan penerangan.

    Pada usia yang mentah terutama yang masih berada di sekolah rendah mereka tidak mampu mengingati dan bercerita kepada orang yang tidak dikenali.

    “Peristiwa hitam akibat dirogol ini masuk dalam imaginasi mereka, namun malangnya apa yang dilakukan tidak mampu dihuraikan satu persatu. Mereka akan menunjukkan bagaimana perkara itu berlaku menggunakan anak patung. Sebab itu ada kanak-kanak yang tidak mampu bercerita kepada orang lain termasuk ibu sendiri. Orang dewasa pula perlu melihat perkara ini dari perspektif kanak-kanak,” jelasnya.

    Ada yang bertanya mengapa ibu tidak memainkan peranan dalam hal ini? Mungkin orang dewasa bersikap sambil lewa atau ambil mudah setiap perkara yang diceritakan oleh anak. Ini menyebabkan anak berasa tidak perlu bercerita sekiranya mereka dimarahi ibu bapa. Bagi kanak-kanak pula untuk mewujudkan kepercayaan dalam diri mereka sangat sukar.

    “Mereka mungkin hanya akan meluahkan kepada orang yang dipercayai yang diyakini tidak akan bercerita kepada orang lain. Ditambah pula mungkin dengan ugutan pemangsa menyebabkan si kecil tidak berani bersuara,” katanya.

    Ajar anak lelaki hormat wanita

    Menurut Pakar Motivasi dan Jurulatih Keibubapaan, Zaid Mohamad, sudah tiba masanya lelaki terutama bapa memainkan peranan sebenar dalam memberikan pendedahan mengenai pendidikan seksual kepada keluarga.

    Biasanya ibu berkongsi ilmu dengan anak perempuan mengenai haid, pentingnya menjaga maruah diri, jangan berjumpa lelaki tidak dikenali tetapi anak lelaki dibiarkan begitu sahaja.

    “Sudah tiba masanya kita mengubah situasi ini. Ia boleh dimulakan dengan bapa mengajar anak lelaki mengenai dimensi seksual. Ada enam dimensi seksual yang perlu diketahui anak lelaki iaitu fizikal, emosional, sosial, etika, perundangan, budaya dan spiritual.

    “Malangnya, kebanyakan lelaki (malah wanita) cuma memfokuskan kepada aspek fizikal sahaja. Maka terciptalah pandangan negatif seks itu hanyalah untuk berseronok atau bertanding di antara lelaki (siapa yang paling ‘kuat’). Banyak produk seksual juga menjurus ke arah fizikal semata-mata. Anak lelaki juga terjebak dengan bahan lucah kerana dorongan fizikal,” katanya.

    Untuk mengelak hal yang menjurus kepada pemerhatian fizikal, bapa hendaklah menerangkan lima dimensi yang jauh lebih penting seperti emosional iaitu hubungan seks adalah pelengkap kasih sayang yang suci, bukan memuaskan nafsu semata-mata.

    Dari segi sosial pula, anak lelaki wajib ditanamkan rasa hormat kepada wanita bermula dengan ibu dan adik-beradik perempuan, seterusnya diberi tanggungjawab menjaga kehormatan mereka khususnya dan seluruh wanita amnya.

    “Menerusi etika dan perundangan, ibu bapa perlulah memberitahu anak lelaki mengenai hukuman berat yang menanti penjenayah seksual sama ada rogol atau sumbang mahram manakala aspek spiritual iaitu yang paling penting ialah menjaga kemaluan sebagai ibadat. Juga ceritakan keperluan jangan menghampiri zina, ingatkan anak lelaki betapa besarnya dosa zina dan kemurkaan Allah di dunia serta akhirat,” katanya.

    Jika hal ini diterangkan secara konsisten, lama-kelamaan anak lelaki akan faham betapa sucinya hubungan seks dan besarnya tanggungjawab seksual mereka, bukannya sebagai bahan jenaka atau berseronok semata-mata.

    Jaga batas pergaulan

    Ditanya mengapa kebanyakan kes sumbang mahram banyak berlaku di kawasan luar bandar jelas Zaid ia mungkin disebabkan budaya di kampung yang terbuka dan bebas bermalam di rumah saudara-mara dan rakan, tanpa pengawasan rapi seperti di bandar.

    Tahap kepercayaan kepada orang lain juga tinggi kerana mereka saling mengenali antara satu sama lain. Jadi, tahap kawalan diri juga rendah kerana dirasakan tiada ancaman bahaya seksual daripada orang sebegini.

    “Malangnya, anggapan ini sudah tidak boleh dipakai lagi kerana zaman ini ialah zaman informasi. Kawasan kampung juga terdedah dengan rangsangan seksual melalui Internet dan membuatkan pemangsa seksual terdorong untuk memuaskan nafsu mereka. Sangat mudah mereka mencari mangsa yang bebas bergerak ke sana ke mari, bukan seperti di bandar.

    “Apabila nafsu menguasai diri, segala adab dan larangan agama ditolak ke tepi. Anak perempuan yang mereka kenali, yang mudah mempercayai helah dan termakan pujuk rayu menjadi mangsa. Inilah sebabnya ramai menganggap saudara terdekat tidak akan ‘memakan’ keluarga sendiri,” katanya.

    Oleh itu, Zaid berkata, apabila anak perempuan meningkat remaja, bapa perlu menjaga batas pergaulan di antara anak perempuan dengan abang, datuk atau bapa saudaranya. Antara yang perlu dilakukan ialah:

    • Usahakan supaya anak perempuan mempunyai bilik atau ruang privasi yang boleh melindungi kehormatan mereka daripada pandangan umum.

    • Hormati privasi dan mohon keizinan sebelum memasuki bilik mereka.

    • Bagi bapa yang sudah biasa memeluk dan mencium anak sebelum ke sekolah contohnya, ia boleh diteruskan dengan sentuhan minimum dan sesuai. Pelukan dan kasih sayang yang ikhlas bapa akan memberi ketenangan kepada anak perempuan.

    • Ketatkan batasan dengan saudara-mara lelaki. Abang, datuk atau bapa saudara sepatutnya tiada urusan untuk memasuki bilik anak perempuan. Malah pelukan dan sentuhan walaupun secara bergurau juga perlu dielakkan.

    • Berikan kuasa kepada anak perempuan untuk memberitahu perkara yang tidak diingini tanpa membuatkan mereka berasa bersalah atau malu.

    • Beritahu anak perempuan supaya tidak mudah mempercayai orang lain, walaupun ahli keluarga terdekat, malah diri bapa itu sendiri. Sentuhan atau ucapan yang salah akan tetap salah biar sesiapa sahaja yang melakukannya.

    • Beritahu anak perempuan mereka perlu berwaspada kepada setiap lelaki termasuk ahli keluarga, kawan, guru mahupun ustaz. Ini bukanlah untuk menanamkan rasa prejudis melulu terhadap lelaki, tetapi sebagai peringatan dan perlindungan kepada kehormatan diri mereka.

    • Ceritakan mengenai bahaya ‘sexual grooming’ apabila ada lelaki yang bersabar dan mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan kepercayaan anak perempuan. Dalam tempoh itu, mereka ‘berlakon’ berkelakuan seperti lelaki berhemah dengan mengambil berat dan membela wanita.

    Ibu bapa perlu bersikap terbuka

    Menurut Ahli Dewan Perwakilan Nasional Ikram, yang juga Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, ibu bapa perlu mengambil tahu perkembangan anak sama ada dengan cara reaktif atau proaktif.

    “Pendekatan reaktif boleh dimulakan apabila anak bertanya mengenai seksual misalnya mengapa alat sulit wanita tidak sama dengan lelaki. Dalam hal ini ibu bapa perlu bersedia memberikan jawapan dengan ilmu.

    "Mereka perlu berpengetahuan melebihi anak dan bersedia memberikan jawapan dengan jujur bukannya secara sembunyi atau berdolak-dalik. Apa yang berlaku sekarang masih ada ibu bapa yang memarahi anak mereka menyebut sesuatu berkaitan seks,” katanya.

    Pendekatan proaktif pula dengan cara memberitahu kepada anak walaupun mereka tidak bertanya. Misalnya mengapa perlu memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila berusia tujuh tahun, ajar tatacara memasuki bilik ibu bapa atau saudara lelaki dan perempuan serta menjaga aurat di rumah.

    Perkara ini harus dibincangkan di rumah dengan ibu dan ayah. “Sekiranya ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dikhuatiri anak mendapatkan maklumat daripada rakan dan Internet. Ini lebih bahaya. Gunakan setiap masa ketika proses pembesaran anak sebagai tempoh untuk bercerita dan berbincang mengenai pelbagai isu.

    "Ibu bapa perlu bersikap terbuka kerana pada zaman sains dan teknologi maklumat disalurkan dengan cepat dan pantas. Kegagalan ibu bapa memberikan pendidikan yang tidak diperoleh di dalam kelas akan membuatkan mereka mencari sendiri,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Trauma Peristiwa Hitam Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top