Dikalangan rakyat Sarawak hari ini, antara isu yang cukup hangat diperkatakan adalah isu penghinaan nama mediang bapa kepada bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek. Penghinaan ini dilakukan menerusi satu program Sukan Tak Senral yang disiarkan melalui stesyen televisyen milik Media Prima Berhad dibawah seliaan Primeworks Studio.
Sebenarnya, apa yang telah dilakukan oleh pengacara program ini, Azizul Ammar atau lebih dikenali sebagai Ammar HotFM memang agak keterlaluan. Manakan tidak, sudahlah nama orang yang dipermainkan itu sudah meninggal dunia, sensitiviti dan perasaan kaum keluarga Watson juga diketepikan hanya semata-mata hiburan semata-mata.
Dapat difahami kemarahan rakyat Sarawak terutamanya Watson dalam isu ini, Justeru, bukan satu perkara yang mengejutkan apabila pertembungan antara Watson dan Primeworks Studio yang dilakukan di Miri semalam diakhiri dengan ketegasan Watson yang enggan menerima permohonan maaf dari Primeworks Studio.
Malah, beliau turut kekal dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan dan membersihkan nama mediang bapanya. Tidak ada apa yang salah dengan keputusan Watson ini kerana hanya beliau sahaja yang berhak menentukan apa yang patut dilakukan demi menjaga maruah keluarganya walaupun Primeworks berulang kali memohon kemaafan.
Malah, pengacara bersama-sama 6 orang krew rancangan ini juga digantung tugas serta merta tanpa memberikan tarikh akhir penggantungan mereka. Rancangan Sukan Tak Sentral juga di tamatkan penyiarannya serta merta akibat kurangnya keprihatinan dan sensitiviti mereka sepanjang penyiaran program berkenaan.
Inilah akibat sekiranya hiburan mengatasi perasaan dan sensitiviti individu yang diperlekehkan. Sebenarnya, hiburan ini luas ruang lingkupnya. Ia termasuklah bidang pengacaraan dan membuat lawak untuk hiburan umum. Namun begitu, masih ada pelawak yang masih gagal memahami erti sensitiviti serta mengguris perasaan mereka yang ditujukan lawaknya.
Sebagai contoh, sebelum ini, berlaku sedikit percakaran antara Datuk Fauziah Ahmad Daud dengan pelawak Johan akibat salah faham mengenai usikan Johan. Sepatutnya, dalam hal ini, kesedaran mengenai sensitiviti patut diletakkan pada paras yang paling atas supaya ianya tidak mengguris perasaan sesiapa.
Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri telah menunjukkan bagaimana melahirkan seorang pelawak dan penghibur yang genius tanpa perlu mempermainkan nama atau perasaan sesiapa. Keputusan yang diambil oleh Watson semalam jelas menunjukkan betapa seriusnya perkara ini dan tidak mustahil mungkin akan berlaku lagi sekiranya kesedaran mengenai perkara ini masih kurang.
Dalam masa yang sama, kita tidak perlulah untuk menjadi hakim dalam isu ini. Perkara ini melibatkan maruah keluarga Watson dan biarlah Watson sahaja yang mengambil keputusan. Apa jua keputusan yang diambil oleh Watson, kita wajar sokong kerana beliau sudah terlalu lama hidup dalam keadaan yang cukup sukar dan hanya mampu bangkit kembali setelah Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem membantunya.
Usah menambah keruh yang sedia ada. Semua orang percaya, apa jua yang dilakukan oleh Watson adalah yang terbaik untuk diri dan keluarganya. Bagi penggiat seni, jadikan kes ini sebagai pengajaran terbaik untuk meneruskan kesinambungan seni dan karier anda. Andai perkara ini berlaku lagi, yang rugi adalah anda dan kami sebagai peminat berhak menentukan siapa yang akan terus di sokong.
Lawak seteruk ini memang wajar dikecam namun, masyarakat juga harus faham, sebarang program televisyen tidak akan dapat disiarkan tanpa penerbit, krew produksi, penulis skrip mahupun pengacara. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini seumpama ini.
0 comments:
Post a Comment