My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 15 April 2017

    Aksi Beregu Negara Merudum


    PRESTASI semasa beregu badminton lelaki No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terus membimbangkan peminat-peminat sukan tanah air apabila tersingkir daripada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Singapura semalam. 

    Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, bekas beregu No. 1 dunia itu berdepan kesukaran untuk menampilkan aksi bertenaga sebelum tewas 21-15, 21-15 kepada gandingan dari Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto.

    Selepas kekalahan tersebut, Wee Kiong tanpa berselindung mengakui mereka gagal untuk memberi saingan kepada juara Malaysia Masters itu selain kecewa dengan permainan sendiri. “Saya perlu akui bahawa kami gagal menampilkan aksi bertenaga kerana kami se­olah-olah bermain di bawah kemampuan sebenar.

    “Selepas bermain dalam tiga kejohanan pada tahun ini, apa yang boleh saya rumuskan adalah pemain-pemain pasukan lain sudah mampu membaca permainan kami. Justeru, apa yang kami lakukan serba tidak menjadi,” tegas Wee Kiong.

    Aksi tidak konsisten yang ditampilkan pemenang pi­ngat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menyebabkan mereka jatuh ke ranking keempat dunia sekali gus melepaskan takhta No. 1 dunia kepada beregu Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

    Sedar dengan aksi hambar yang ditampilkan sejak kebelakangan ini, Wee Kiong menegaskan, sudah tiba masa untuk dia, V Shem serta jurulatih, Jeremy Gan mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti punca kemerosotan mereka.

    “Saya fikir, sudah tiba masa untuk kami duduk semeja dan membuat penilaian mengenai prestasi semasa. Sudah tidak ada cara lain lagi selain kami sendiri yang memperbaiki aksi tidak konsisten dalam setiap kejohanan,” ujarnya.

    V Shem-Wee Kiong perlu mencari jalan penyelesai­an pantas bagi memastikan mereka mampu menjadi pencabar utama pada saingan Piala Sudirman (21-28 Mei) serta Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland Ogos depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Aksi Beregu Negara Merudum Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top