Angka korban berikutan tragedi banjir lumpur di Ladang Sen Fu, Tongod, pada 1 April lalu meningkat kepada tujuh orang apabila seorang lagi mangsa yang sebelum ini terselamat, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman, kelmarin.
Mangsa, Zaleha Mandayan, 40, menghembuskan nafas terakhir di wad Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, dekat sini, pada jam 6.07 pagi. Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kematian wanita itu daripada pihak hospital, semalam.
“Difahamkan, wanita terbabit dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan kuman,” katanya.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur apabila rumah dihuni di Ladang Sen Fu, Tongod, dekat sini, roboh selepas dilanda tanah runtuh.
Pada awalnya, Zaleha dan suaminya, Abdul Kamalayan, 50, bersama anak lelaki mereka, Joshnam, 18, ditemui selamat di Sungai Penangah. Enam lagi anak dan cucu wanita itu ditemui meninggal dunia manakala dua lagi masih hilang.
0 comments:
Post a Comment