My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 26 April 2017

    FAM Kekal Dengan Pendirian



    KERAJAAN Malaysia tetap bertegas agar perlawanan peringkat Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di venue berkecuali pada 8 Jun ini. Keputusan tersebut sekali gus menolak permohonan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meneruskan aksi di Pyongyang. 

    Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menjelaskan perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat penyelarasan semalam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali dan dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk S. Ganeson.

    “Selepas perbinca­ngan tersebut, Lokman yang mempengerusikan mesyuarat pagi tadi (semalam) memutuskan untuk bersetuju dan mengambil maklum pandangan serta ulasan daripada Kementerian Luar bahawa ketegangan hubungan politik antara Korea Utara dan negara-negara lain kini semakin meruncing.

    “Sehubungan itu, mesyua­rat berkenaan telah bersetuju perlawanan tersebut tidak diadakan di Pyongyang tetapi diadakan di gelanggang berke­cuali. “Hasil keputusan mesyuarat tersebut juga akan dimaklumkan kepada AFC untuk tindakan selanjutnya,” menurut ke­nyataan yang dikeluarkan oleh FAM semalam.

    PRKFA sebelum ini telah membuat keputusan untuk tidak mengemukakan cada­ngan venue berkecuali sebaliknya menghantar surat kepada AFC bagi mengekalkan Pyongyang sebagai lokasi perlawanan pertama itu dengan jaminan keselamatan.

    Minggu lepas, AFC menghantar surat kepada FAM untuk mengetahui status terkini hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara sebelum ia dirujuk kepada Kementerian Luar dan KBS. 

    Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul ketika dihubungi semalam menjelaskan bahawa pihaknya kini hanya menunggu surat larangan rakyat Malaysia ke Korea Utara daripada pihak kerajaan selepas FAM enggan untuk beraksi di Pyongyang.

    Menurut Windsor, biarpun PRKFA telah memberikan jaminan keselamatan kepada pasukan negara di Pyongyang tetapi FAM bertegas bahawa mereka tidak bersedia untuk melangsungkan aksi itu di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang.

    “Kami hanya menunggu surat daripada pihak FAM serta kerajaan Malaysia berhubung larangan rasmi rakyat negara ini ke Korea Utara. Kami akan meneliti terlebih dahulu segala maklumat yang diperoleh sebelum membuat keputusan selanjutnya,” tambahnya.

    Katanya lagi, keputusan untuk menentukan venue perlawanan tersebut akan dibuat selewat-lewatnya minggu ini.

    “(Keputusan untuk memilih) venue masih belum dibuat kerana kami masih menunggu surat daripada FAM. Pihak Korea Uta­ra sudah memberikan jaminan keselamatan kepada skuad kebangsaan Malaysia beraksi di Pyongyang tetapi kami perlukan semua maklumat sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Windsor ketika dihubungi semalam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: FAM Kekal Dengan Pendirian Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top