Bakat nyanyian peserta Mentor Milenia 2017, Balqis atau nama sebenarnya Nor Balqis Ahmad Tajudin, 18, tidak perlu dipertikaikan lagi dan ia terbukti dengan persembahan konsisten dan bertenaga yang dipamerkan setiap minggu.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Balqis mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur pelapis kerana bukan saja mempunyai bakat serta paras rupa cantik, tetapi ada cita rasa tersendiri dalam fesyen. Menurut Balqis, dia bukanlah arif dalam bidang fesyen tetapi gemar bereksperimen dengan pelbagai gaya sejak di bangku sekolah.
“Selain menyanyi, saya juga gemar berfesyen hingga ada saja pakaian atau kasut yang dibeli setiap bulan sejak berumur 15 tahun. Sehingga kini, saya memiliki 200 kasut tumit tinggi dan 300 dress yang kebanyakannya daripada material sequin.
“Emas, merah jambu dan coklat antara warna pilihan saya namun kebanyakan koleksi berwarna hitam kerana mudah disuai padan,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.
Balqis berkata, meskipun cenderung dengan gaya elegan, dia juga gemarkan gaya kasual terutama ketika keluar bersiar. Baginya, gaya itu lebih santai dan sesuai dengan penampilannya yang masih berusia belasan tahun.
“Ketika kecil, saya tidak tahu banyak perkara mengenai fesyen jadi akan memakai apa saja pakaian yang diberi. Kini, saya tahu serba sedikit dan lebih berani mencuba sesuatu yang baru asalkan selesa dan sesuai dengan keadaan.
“Secara peribadi, saya tidak tetap dengan gaya tertentu kerana turut menyarung pakaian kasual seperti denim, baju-T, ‘overall’ dan ‘sweatpants’ untuk kelihatan ringkas,” katanya.
Bagi Balqis, murah atau mahal sesuatu pakaian bukan soalnya kerana apa yang lebih penting cara seseorang itu menggayakannya. Menurut Balqis, lebih baik membeli mengikut kemampuan berbanding keinginan peribadi yang melampau.
“Semua remaja boleh tampil bergaya walaupun dengan bajet minimum asalkan tahu apa yang sesuai dengan diri mereka. “Saya sendiri bukannya membeli barangan mahal kerana turut menyukai item ‘preloved’ yang semakin menjadi pilihan remaja masa kini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment