My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 14 April 2017

    Azizulhasni Akhiri Penantian 10 Tahun




    PENANTIAN jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang untuk meraih emas sulung dalam penampilan pada Kejohanan Berbasikal Dunia akhirnya terlerai di Hong Kong malam tadi. 

    Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu berjaya memintas kedudukan jaguh dunia seperti Matthew Glaetzer dari Australia, Fabian Puerta (Colombia), serta juara Eropah, Tomas Babek untuk menduduki podium pertama bagi acara keirin.

    Kemenangan tersebut menyaksikan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya menamatkan penantian selama 10 tahun untuk menggenggam pingat emas pada kejohanan berbasikal trek terbesar di dunia sejak kali pertama menyertai­nya pada 2007.

    Menurut Azizulhasni, sikap tidak kenal erti putus asa serta pengalaman lebih 10 tahun dalam arena berbasikal dunia telah menjadikan dirinya sebagai atlet yang matang dan sentiasa percaya pada kemampuan diri.

    “Saya mula menyertai peringkat elit sejak 2007 dan sudah banyak pengalaman yang ditempuhi. Dua kali saya dapat perak dan dua kali gangsa, namun masih tidak mendapat emas. Bagaimanapun, saya tetap mencuba sedaya upaya tanpa mengenal erti putus asa kerana yakin suatu hari nanti saya pasti akan meraih emas. Akhirnya pada hari ini (malam tadi), cita-cita yang saya impikan menjadi kenyataan.

    “Saya juga tidak percaya bahawa saya akhirnya telah memakai baju pelangi (juara) yang menjadi idaman setiap pelumba dunia.

    “Walaupun saya tidak berada di Malaysia, saya masih lagi menerima sokongan hebat daripada masyarakat di sini. Saya sangat gembira kerana selepas saya menamatkan perlumbaan, semua penonton di sini bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada saya,” katanya.

    Sebagai rekod, pada kejohanan sama edisi 2009 dan 2010, pelumba berusia 29 tahun itu berjaya meraih pingat perak bagi acara pecut dan keirin.Pada tahun 2015 dan 2016, pemenang pingat gangsa sukan Olimpik 2016 di Rio de Jaineiro, Brazil itu berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

    Dalam perkembangan sama, hasrat seorang lagi pelumba elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mencatatkan kedudukan podium tidak kesampaian apabila tumpas pada pusingan pertama Repechage. Hari ini, Azizulhasni bakal beraksi dalam acara pecut lelaki.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Azizulhasni Akhiri Penantian 10 Tahun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top