My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 28 April 2017

    Nauraj Berjaya Lebur Rekod Kebangsaan




    JAGUH lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan baharu 2.30 meter (m) sewaktu memenangi pingat emas acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singa­pura semalam. 

    Ternyata, venue pertandingan iaitu Stadium Nasional Singapura seakan-akan membawa tuah kepada Nauraj, 25, yang sebelum ini turut mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 2.29m pada kejohanan yang sama tahun lepas.

    Lebih manis, Olimpian negara itu bukan sahaja memecahkan rekod kebangsaan malah catatan tersebut turut membolehkannya layak secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia di London, England pada 5 hingga 13 Ogos depan.

    Atlet dari Johor itu meluahkan kegembiraannya memandangkan dia langsung tidak menjangkakan berjaya mencatatkan rekod baharu kebangsaan atau mengatasi had kela­yakan ditetapkan ke London akan tercipta pada kejohanan tersebut.

    “Saya pernah beritahu sebelum ini bahawa saya akan memberikan prestasi terbaik dalam mana-mana kejohanan yang disertai. Saya akan tetap mencuba sebaik mungkin jika saya berada dalam keadaan terbaik.

    “Saya menganggap Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura ini sebagai pentas persediaan sebelum bersaing dengan atlet-atlet lompat tinggi handalan dunia pada dua pertandingan di Jepun bermula minggu depan.

    “Saya gembira kerana akhirnya berjaya layak ke Kejohanan Olahraga Dunia. Memang ia impian saya selama ini dan saya berharap dapat memberikan aksi lebih mantap di Jepun dan London nanti,” katanya.

    Sebagai rekod, Nauraj layak secara merit ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas melepasi had kelayakan ditetapkan untuk temasya tersebut iaitu 2.29m ketika memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, Mei tahun lepas.

    Nauraj kini mengulangi kecemerlangan mempertahankan pingat emas dimenanginya tahun lepas dengan menewaskan rakan senegara yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan, Lee Hup Wei di tempat kedua dengan catatan 2.24m.

    Tempat ketiga kejohanan tersebut dimenangi wakil Kelab Olahraga Wings, Manu Lasangue Jr. selepas berjaya melepasi had ketinggian 2.09m.

    Pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu akan menyertai Grand Prix Shizuoka di Jepun pada Rabu ini sebelum menghadapi pertandingan yang ditunggu-tunggu iaitu Cabaran Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Kawasaki, 21 Mei depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nauraj Berjaya Lebur Rekod Kebangsaan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top