Korea Utara menyatakan semalam bahawa ia bersedia untuk menenggelamkan kapal induk nuklear Amerika Syarikat (AS), USS Carl Vinson. Amaran itu dikeluarkan ketika dua kapal pemusnah Jepun menyertai armada kecil AS yang diketuai USS Carl Vinson mengadakan latihan di Pasifik Barat.
“Tentera revolusi kami bersiap sedia untuk menenggelamkan kapal induk AS ini dengan satu serangan sahaja,” kata akhbar rasmi Rodong Sinmun dalam ruangan komentar. Rodong Sinmun merupakan akhbar parti pemerintah Parti Pekerja.
Menurutnya, serangan tunggal itu akan dibuat untuk menunjukkan kekuatan tentera Korea Utara. Korea Utara akan menyambut ulang tahun ke-85 penubuhan tentera negara itu esok. Pyongyang pada masa lalu mengadakan ujian senjata untuk menyambut hari penting negara.
Presiden AS, Donald Trump mengarahkan armada gempur diketuai USS Carl Vinson supaya belayar ke perairan di luar Semenanjung Korea ketika ketegangan berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu Korea Utara memuncak.
Pyongyang juga mengugut akan menyerang sekutu AS di Asia termasuk Korea Selatan dan Jepun. Naib Presiden AS, Mike Pence memberitahu kelmarin bahawa USS Carl Vinson akan tiba di sekitar perairan Semenanjung Korea dalam masa beberapa hari lagi.
Dalam pada itu, tentera Jepun tidak menyatakan lokasi latihan tentera berkenaan semalam tetapi dua kapal pemusnah itu dipercayai telah sampai di perairan Filipina, sejauh 2,500 kilometer dari selatan Jepun.
Masa tiga hari lagi diperlukan untuk armada kecil itu sampai ke perairan Semenanjung Korea, manakala dua kapal pemusnah Jepun itu akan mengiringi USS Carl Vinson sekurang-kurangnya hingga ke Laut China Timur.
0 comments:
Post a Comment