My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 14 April 2017

    Tiguan Lebih Matang



    Mula diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada 2008, model utiliti sukan (SUV) kompak, Volkswagen Tiguan adalah kenderaan untuk mereka yang aktif dan pada masa sama mahukan kenderaan yang seronok dipandu seharian. 

    Dilancarkan secara rasmi beberapa hari lalu, Tiguan serba baru kini lebih elegan dengan ruang kabin yang luas dan fleksibel direka dengan ketelitian dari mula ia dihasilkan sehingga ke proses pemasangan akhir.

    Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti sesi pandu uji prapelancaran Tiguan serba Baharu yang juga generasi kedua model itu anjuran Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dari Bangsar, Kuala Lumpur menuju Ipoh melalui lebuh raya dan jalan raya Persekutuan termasuk jalan kampung. 

    Mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan catatan pengeluar 6.7 liter setiap 100km, mampu menjangkau jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau Pulau Pinang dan berpatah balik dengan petrol hanya satu isian penuh.

    Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan iaitu Comfortline dan Highline dengan perbezaan beberapa ciri luaran dan dalaman seperti lampu nyalaan siang (DRL), rim 17 dan 18 inci, lampu isyarat serta kemasan dalaman seperti kerusi kulit Vienna dan fabrik daripada Rhombus.

    Selaku penerima Anugerah Reka Bentuk Jerman 2017, Tiguan kini tampil dengan rekaan lebih mudah tapi elegan dengan ciri kenderaan Eropah jelas dan mantap ketika meluncur di jalan. Dilengkapi enjin 1.4 liter TSI pengecaj turbo suntikan terus dengan kotak gear klac basah Direct Shift Gearbox (DSG) enam kelajuan ia menjana kuasa 150PS dan daya kilas 250Nm di antara 1,500rpm sehingga 3,500rpm.

    Keupayaan enjin diuji ketika kami melalui jalan lama Hulu Behrang ke Slim River, seterusnya dari Tapah ke Chenderiang dan Kuala Dipang di Perak dengan selekoh tajam dan jalan sempit menjadi ‘hidangan’ untuk memandu pada pelbagai kelajuan.

    Untuk memintas, Tiguan memberikan kuasa responsif dan kestabilan di pelbagai bentuk permukaan jalan sepanjang perjalanan dengan kedudukan posisi memandu yang selesa serta sesuai membawa muatan untuk lima penumpang.

    Jika dibandingkan dengan generasi pertama, model terbaharu ini lebih panjang 4486mm, lebar (1839mm) dan rendah (1664mm) menjadikan ia kurang olengan serta ruang lebih selesa ditawarkan. Menjengah ke bahagian dalaman pula, varian Highline menerima ciri Paparan Info Aktif bagi kemudahan pelbagai maklumat perjalanan termasuk Bantu Parkir yang dipaparkan sangat jelas dan mudah.

    Selain itu, pada papan pemuka dengan skrin sesentuh berwarna lapan inci bagi kemudahan ketersambungan hiburan dan maklumat mengenai kenderaan mudah dikendalikan. Roda stereng rekaan sporty dengan pedal penukar gear bukan sahaja mudah dan pelbagai fungsi malah memberikan gaya pemanduan prestasi buat mereka yang mahukan pengendalian lebih lasak.

    Selain itu, pendingin hawa tiga zon memberikan kenyamanan sepanjang perjalanan yang boleh dilaras mengikut keselesaan pemandu dan penumpang belakang serta dilengkapi sistem bunyi terbaik bagi alunan muzik.

    Untuk membawa muatan, Tiguan adalah model yang praktikal serta fleksibel dengan ruang 40/20/40 memberikan kapasiti penyimpanan yang luas sehingga 615 liter tanpa perlu melipatkan kerusi. 

    Elemen keselamatan pula dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Respons Kemalangan Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB), ISOFIX dan Kawalan Hill-Hold.

    Setibanya di Ipoh, VPCM menyediakan tapak ujian membrek dan slalom dengan beberapa model jenama pesaing yang terdekat untuk model ini turut diuji bagi melihatkan perbezaan yang lebih jelas terutama pada aspek keselamatan dan ternyata ciri keselamatan pada model ini berfungsi baik bagi meningkatkan keyakinan pemandu.

    Kesimpulannya, model Tiguan adalah SUV paling laris jualannya untuk jenama Volkswagen yang terjual sebanyak 2.8 juta unit di pasaran lebih 170 negara. Selesa, praktikal dan berprestasi dengan enjin 1.4 liter tidak sahaja menjimatkan kos bahan api, bahkan cukai jalan kenderaan hanya sekitar RM70 setahun memberikan kelegaan yang berbaloi kepada pembeli.

    Pelbagai ciri terkini dan keselamatan terbaik ditawarkan, ia adalah kenderaan yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga dengan perincian seperti dulang hidangan dan cagak ISOFIX untuk kerusi bayi sedia terpasang.

    Lima warna ditawarkan iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu pada harga asas bermula RM148,990 (Comfortline) dan RM168,990 (Highline) dengan waranti dan bantuan kerosakan di jalanan selama lima tahun dan bagi pembelian awal, diberikan diskaun RM7,000 bagi tempoh terhad.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tiguan Lebih Matang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top