Sebenarnya, agak melucukan apabila melihat seorang ketua sanggup mengusir pengikutnya yang tidak seberapa hanya kerana tidak sependapat dengannya. Inilah yang berlaku terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau sanggup mengusir ahli PPBM daripada parti hanya kerana tidak mempunyai sefahaman dengan beliau.
Melihat kepada kenyataan Mahathir semalam, memang agak melucukan. Manakan tidak, sudahlah parti ini baru sahaja mencecah usia 6 bulan, ditambah pula dengan keahlian partinya sendiri yang tidak seberapa, beliau lebih rela kehilangan ahlinya hanya dengan alasan tidak sehaluan dengannya dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib dan kerajaan.
Mungkin Mahathir merasakan kedudukan PPBM sudah cukup ampuh apabila menyertai Pakatan Harapan namun dari segi keahlian, PPBM sebenarnya mempunyai masalah yang cukup besar. Manakan tidak, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 1,600 orang ahli sudah meninggalkan parti ini.
Lebih memburukkan keadaan, pemimpin utama parti ini juga turut sama angkat kaki setelah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti. Antara sebab lain yang sentiasa di sebut adalah, pucuk pimpinan parti ini sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam membawa wadah erti perjuangan sebenar.
Sebaliknya, PPBM ini ditubuhkan bagi membolehkan Mahathir mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan. Walhal, apa yang dimahukan Mahathir ini mendapat tentangan dari rakan Pakatan Harapan itu sendiri. Justeru, apalah guna terus berada di dalam parti yang hanya mementingkan waris keturunan untuk mendapatkan kuasa.
Dakwaan seperti ini masih gagal dijawab Mahathir secara jelas. Malah, beliau tanpa memperdulikan perasaan ahli bawahannya, bertindak mengusir mereka yang tidak sehaluan dengannya. Apakah guna menyertai sesebuah parti politik jika pengerusinya sendiri sanggup menghalau ahlinya? Di manakah hak kebebasan bersuara di dalam PPBM?
Jika inilah yang berlaku, bukan satu perkara mustahil andai PPBM akhirnya bakal berkubur tidak lama lagi. Bayangkan, ahli yang tidak seberapa pun boleh dihalau seperti sampah, matlamat parti tidak jelas dan hanya mengutamakan waris keturunan sahaja untuk mendapatkan kuasa. Adakah ini parti politik yang mampu membina sebuah negara dan membela nasib rakyat?
0 comments:
Post a Comment