• PANAS

    Tuesday, 25 April 2017

    Malaysia Beraksi Di Larkin


    SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan gelanggang baharu skuad kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Asia 2019 akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. 

    Hamidin memberitahu, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan keputusan untuk mengubah venue Harimau Malaya ke selatan tanah air dibuat berdasarkan beberapa faktor yang tidak dapat didedahkan.

    “Venue untuk perlawanan menentang Korea Utara masih belum ditentukan tetapi aksi kedua menentang Lebanon pada 13 Jun, kita sudah tetapkan tempatnya iaitu di Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos).

    “Sebelum ini skuad kebangsaan beraksi di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Bukit Jalil, namun kali ini kita telah bermesyuarat untuk bermain di Larkin bagi semua perlawanan di laman sendiri.

    “Saya fikir tempat latihan dan kelengkapan di sana cukup lengkap, malah Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) juga adalah pemilik tunggal kelab (Johor Darul Ta’zim). Selain itu, kita juga ada strategi mengapa pilih main di Larkin dan sebab tidak boleh dedahkan, tetapi kemudahan adalah antara satu faktor,” katanya.

    Hamidin berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) yang disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi di Kuala Lumpur semalam.

    Dalam perkembangan sama, status venue untuk aksi pembukaan menentang Korea Utara pada 8 Jun depan masih belum diputuskan meskipun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) bertegas mahu perlawanan diadakan di Pyongyang.

    “AFC sebagai penganjur akan memutuskan perkara ini. PRKFA ada menghantar surat kepada AFC menyatakan keinginan mereka bermain di Pyongyang dan memberi jaminan keselamatan terhadap skuad negara.

    “Bagaimanapun, saya telah berbincang dengan Presiden dan Exco FAM, kami sepakat untuk tidak mahu beraksi di Pyongyang. Namun, AFC mahu surat daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Kementerian Luar. Justeru, kita akan adakan mesyuarat esok (hari ini) yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali,” katanya.

    Sementara itu, Hamidin turut mengesahkan FAM dalam perbincangan akhir untuk mendapatkan khidmat jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang difahamkan bakal dilantik menjadi pembantu ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Beraksi Di Larkin Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top