Nasib seorang anggota KD Perantau yang jatuh ke dalam laut lebih 24 jam lalu masih belum diketahui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan beberapa agensi gagal menemukan mangsa.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan malam ini berkata, operasi digerakkan di kawasan seluas lebih 9,000 kilometer persegi di perairan Sabah dan Sarawak. Katanya, aset-aset yang terlibat ialah pesawat Super Lynx dan Beechcraft B200T, kapal KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti.
“Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan kapal KM Tabah. Markas Wilayah Laut 2 juga telah membuat pengumuman kehilangan anggota melalui Navigation Telex (Navyex) untuk disiarkan kepada kapal-kapal,” kata kenyataan itu.
Semalam, TLDM mengesahkan seorang anggota KD Perantau kali terakhir dilihat di bilik rehat kapal sebelum hilang pada pukul 9 pagi dan dipercayai jatuh ke dalam laut. Ketika kejadian, kapal berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak selepas enam hari berada di Sabah. Setakat ini, TLDM belum mendedahkan nama anggota berkenaan.
0 comments:
Post a Comment