My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 21 April 2017

    KWSP Sasar Dana Persaraan RM1 Trilion



    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat memberi tumpuan kepada pelaburan aset baru berkaitan sektor sumber asli dalam usaha menjadi sebuah dana persaraan bernilai RM1 trilion pada masa depan. 

    Antara sektor sumber asli yang dijangka menarik perhatian ialah memiliki secara terus aset perladangan, penternakan dan aktiviti penanaman semula hutan memandangkan ia menjadi perhatian entiti dana persaraan antarabangsa untuk memacu pertumbuhan lebih mampan.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, aset dalam portfolio berkenaan memberi potensi dalam aliran tunai yang mengukuh dan terlindung daripada inflasi dagangan. Beliau berkata, pihaknya juga meninjau peluang untuk memiliki aset perladangan secara terus dan bukan sebagai pemegang ekuiti di dalam syarikat sektor berkenaan bagi memudahkan kawalan operasi.

    “Ia selaras dengan strategi KWSP untuk melaksanakan pelaburan berhemah di samping usaha mempelbagaikan kelas aset, geografi dan mata wang serta ia mampu meningkatkan pendedahan kepada pasaran global pada tahun yang akan datang.

    “Strategi kami menekankan kepelbagaian aset terbukti berkesan ketika berdepan dengan keadaan ekonomi mencabar, membolehkan KWSP mengimbangi semula portfolio dan mengambil keuntungan daripada kelas aset mengikut keadaan pasaran,” katanya dalam taklimat media Laporan Tahunan KWSP 2016, di sini, semalam.

    Laporan kewangan itu yang dibentangkan di Parlimen pada 5 April lalu merekodkan kenaikan 6.81 peratus jumlah aset pelaburan KWSP kepada RM731.11 bilion berbanding RM684.53 bilion pada 2015.

    Jumlah dividen yang dikreditkan ke dalam akaun ahli sebanyak RM37.08 bilion dan jumlah berbayar untuk setiap peratus kadar dividen untuk tahun berkenaan adalah RM6.51 bilion, meningkat 8.86 peratus berbanding RM5.98 bilion pada 2015.

    Sementara itu, Shahril berkata, KWSP menjangkakan Simpanan Shariah bakal menjadi penggerak penting landskap kewangan Islam kerana ia mampu mencetuskan peningkatan jumlah permintaan terhadap instrumen kewangan patuh shariah.

    “Semasa pendaftaran ditutup pada 23 Disember 2016, sejumlah 635,037 ahli sudah bertukar daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah, manakala RM59.03 daripada RM100 bilion peruntukan sudah digunakan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: KWSP Sasar Dana Persaraan RM1 Trilion Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top