My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 21 April 2017

    Mini Countryman Lebih Lasak


    Dulu besar, kini lebih besar. Itu gambaran mudah mengenai generasi kedua Mini Cooper Countryman yang mula memasuki negara ini selepas dilancarkan di pasaran antarabangsa pertengahan Februari lalu. Yang pasti, ia tampil dengan pembaharuan untuk mengukuhkan lagi imejnya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak dan sesuai untuk aktiviti keluarga. 

    Ini sekali gus memberi mesej kepada pengeluar yang yakin dan tiada masalah dengan saiz Countryman, di sebalik kritikan mengatakan model ini menghilangkan identiti sebenar Mini disebabkan saiznya yang besar.

    “Kami menghasilkan model ini bukan kerana syok sendiri tapi atas permintaan pasaran selepas membuat kajian. Nyata, kami membuat keputusan betul kerana Countryman ada kelompok peminat tersendiri,” kata Pengurus Produk Mini Countryman, Klaus Mehrlich. Beliau berkata demikian ketika sesi pelancaran dan pandu uji Mini Cooper Countryman 2017 di London, baru-baru ini.

    Jadi, peminat kereta kini boleh melupakan persepsi ‘Mini itu kecil’. Ketika Countryman mula diperkenalkan enam tahun lalu, ia berukuran 410 sentimeter (sm) panjang dan 179sm lebar. Kini saiznya bertambah kepada 429.9sm panjang dan 182.2sm lebar, menjadikannya model paling besar pernah dihasilkan dalam sejarah Mini sejak 57 tahun lalu.

    Saiz yang besar ini menyediakan ruang lebih luas dan selesa untuk pemandu, penumpang hadapan serta belakang. Jika saiz badan anda sederhana dengan berat kurang 100kg, tiada masalah untuk tiga penumpang duduk selesa di tempat duduk belakang.

    Bagi menonjolkan ciri-ciri SUV dan aspek kelasakan Countryman 2017, sesi pandu uji untuk wartawan dimulakan dengan laluan trek ‘off road’ di ladang berdekatan Soho Farmhouse, Oxfordshire.

    Biarpun jaraknya tidak jauh cuma kira-kira dua kilometer, bumi London yang ketika itu dibasahi hujan setiap hari, menyediakan laluan yang ‘sempurna’ dengan lumpur dan lopak air di sepanjang perjalanan. Nyata, Countryman 2017 lulus ujian itu kerana penulis langsung tidak berdepan masalah untuk mengharungi laluan lasak itu.

    Spesifikasinya sebagai pacuan empat roda atau ALL4 membolehkan SUV kompak ini bergerak lancar meredah lumpur dan lopak air setiap kali pedal minyak ditekan.

    Pada masa sama, kawalan stereng tetap ringan dan stabil tanpa sedikitpun kereta itu membuang kerana dilengkapi gabungan sistem suspensi depan dan belakang McPherson serta padanan tayar 205/65 R16 95W yang memberi cengkaman diperlukan.

    Generasi kedua Countryman itu menawarkan lima kapasiti enjin untuk pilihan iaitu 1.5L dan 2.0L petrol, 2.0L diesel dengan 150 kuasa kuda, 2.0L diesel dengan 190 kuasa kuda serta edisi khas 1.5L petrol dengan pilihan elektrik atau hibrid.

    Semua variasi enjin dipadankan dengan sistem pacuan empat roda ALL4 yang diperbaharui bersama pilihan transmisi gear manual enam kelajuan dan Steptronik lapan kelajuan untuk transmisi gear automatik. Untuk sistem info hiburan, monitor skrin bulat sebagaimana model generasi pertama dikekalkan, namun saiznya ditambah daripada 17sm kepada 22sm.

    Pada skrin inilah tersedia sistem penunjuk arah untuk panduan pemanduan, paparan daripada kamera depan dan belakang, kawalan saluran radio dan cakera padat (CD), Bluetooth serta kemudahan bebas pegang telefon bimbit. Selain itu, kemudahan tambahan disediakan secara pilihan ialah kawalan jarak dan bantuan ketika parkir serta paparan skrin HUD atau Head-up Display.

    Untuk menyempurnakan lagi fungsinya sebagai kenderaan untuk kegunaan keluarga, Countryman 2017 menyediakan but menyimpan barang yang lebih luas berukuran 450 hingga 1,350 liter.

    Ia boleh dibuka secara manual atau elektronik (pilihan) dan turut dilengkapi ‘kerusi berkelah’ atau Picnic Bench iaitu pelapik khas untuk membolehkan anda duduk di birai but. Model ini ditawarkan pada harga RM239,888 dan RM269,888 bagi varian S Countryman.

    INFO MINI COOPER S COUNTRYMAN ALL4 (A) 2.0

    • Enjin: 1,998cc
    • Transmisi: Automatik Steptronik lapan kelajuan 
    • Kuasa maksimum: 141/192 kW/hp @ 5,000-6,000rpm 
    • Tork maksimum: 280Nm @ 1,350-4,600rpm
    • Kelajuan maksimum: 222km/j
    • Pecutan: 0-100km/j 7.2 saat
    • Harga: RM269,888 (tanpa insurans)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mini Countryman Lebih Lasak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top